Kes tikam di sekolah: Nasib pelajar lelaki diketahui 14 September

8 Sep 2026 • 7:57 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kes tikam di sekolah: Nasib pelajar lelaki diketahui 14 September

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 September bagi keputusan kes pelajar lelaki yang didakwa membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam sebuah sekolah menengah di Bandar Utama tahun lalu.

Perkara itu dimaklumkan peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh juvana berusia 15 tahun ketika dihubungi media selepas prosiding kes hari ini.

Menurut peguam itu, Hakim Adlin Abdul Majid menetapkan tarikh tersebut selepas mahkamah selesai mendengar keseluruhan hujahan lisan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.

Terdahulu mahkamah telah menetapkan hari ini bagi hujahan lisan selepas pihak pembelaan menutup kesnya setelah saksi kedua iaitu Pakar Perunding Forensik Psikiatri Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony selesai memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan, remaja lelaki berusia 14 tahun itu (umur ketika kejadian) didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama di sini antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001, hukuman mati tidak boleh dijatuhkan terhadap seseorang yang merupakan kanak-kanak pada masa kesalahan itu dilakukan.

Sebaliknya, Seksyen 97(2) memperuntukkan bahawa seseorang yang disabitkan atas kesalahan sedemikian hendaklah ditahan selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong jika kesalahan itu dilakukan di Wilayah-Wilayah Persekutuan, atau selama diperkenankan oleh Raja atau Yang di-Pertua Negeri jika kesalahan itu dilakukan di sesebuah negeri.

Pada 13 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan pelajar lelaki itu membela diri atas pertuduhan berkenaan.

Hakim Adlin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie terhadap pendakwaan kes itu.

Kitson berkata, anak guamnya kemudian memilih memberi kenyataan tidak bersumpah dari kandang saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Sebelum ini mahkamah menetapkan keputusan hari ini, selepas pihak pendakwaan memaklumkan pihaknya menutup kes dengan saksi pendakwaan terakhir ke-11 iaitu pegawai penyiasat kanan Asisten Superintendan Ahmad Zarrin Abd Rashid selesai memberi keterangan.

Untuk rekod, sepanjang perbicaraan berlangsung antara saksi-saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan ialah tiga kanak-kanak, guru sekolah, ibu mangsa dan pakar patologi.

Sepanjang prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Ahmad Iqbal Azman.

Remaja lelaki itu identitinya tidak boleh didedahkan atau dirakam gambarnya kerana masih di bawah umur manakala sepanjang prosiding ia dijalankan secara tertutup (in camera). – KOSMO! ONLINE

The post Kes tikam di sekolah: Nasib pelajar lelaki diketahui 14 September appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved