
SHAH ALAM, 8 SEPT: Tindakan seorang lelaki mengintai anak tirinya ketika sedang mandi Ahad lepas membawa kepada pendedahan dakwaan mencabul mangsa empat tahun lalu.
Lelaki berusia 43 tahun yang juga penganggur itu direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan selepas mangsa membuat laporan polis semalam.
Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman mengeluarkan perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Memetik laporan BH Online, mangsa berusia 22 tahun terdengar bunyi seperti pintu bilik diumpil ketika sedang mandi kira-kira jam 10 malam di rumahnya di Parit Sulong.
Mangsa kemudian keluar dari bilik air sebelum kakaknya memberitahu bapa tiri mereka mengintai melalui celah pintu.
Mangsa bertanyakan perkara itu kepada suspek, namun lelaki berkenaan tidak mengaku sebelum berlaku pertengkaran.
Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis yang turut mendedahkan dakwaan dicabul suspek ketika berusia 18 tahun pada April 2022.
Dalam laporan berkenaan, mangsa mendakwa dicabul suspek di dalam sebuah bilik di rumahnya, namun tidak membuat laporan polis ketika itu atas nasihat ahli keluarga.
Siasatan awal mendapati suspek berkahwin dengan ibu mangsa pada 2014, dua tahun selepas kematian bapa mangsa pada 2012.
Bertindak atas laporan itu, polis menahan suspek di sebuah pusat mencuci kenderaan di Jalan Tanjung Laboh kira-kira jam 1.10 tengah hari semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.






