Didakwa Tidak Tepat Lapor Jumlah Cukai, Akauntan Mengaku Tidak Bersalah

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2026 • 2:14 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Didakwa Tidak Tepat Lapor Jumlah Cukai, Akauntan Mengaku Tidak Bersalah

GEORGE TOWN - Seorang akauntan didakwa membantu sebuah syarikat mengemukakan penyata pendapatan yang menyebabkan cukai berjumlah RM2.53 juta dilaporkan kurang daripada nilai sepatutnya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 2021.

Chew Ai Keow, 63, yang juga rakan kongsi firma perkhidmatan perakaunan Abbacus Cloud Solutions, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Chew memilih untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Idayu Salim.

Berdasarkan pertuduhan, Chew didakwa membantu dan menasihati Penshrimp Fishery Sdn Bhd dalam menyediakan penyata pendapatan syarikat untuk dikemukakan kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri.

Dia didakwa menyemak dan meluluskan lejar jualan syarikat yang tidak memasukkan transaksi jualan bernilai RM10,678,133.

Transaksi berkenaan, yang direkodkan dalam akaun bank syarikat, sepatutnya dimasukkan dalam rekod akaun syarikat.

Perbuatan itu didakwa berlaku antara Januari hingga Mac 2021 ketika Chew memberikan perkhidmatan perakaunan kepada Penshrimp Fishery Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat di 105-07-07, Jalan Gurdwara, Hexagon Tech Park, Pulau Pinang.

Akibat transaksi berkenaan tidak dimasukkan dalam penyata, pendapatan syarikat dilaporkan lebih rendah daripada sepatutnya.

Penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2020 itu kemudian dikemukakan kepada LHDN melalui Borang C bertarikh 25 Mac 2021.

Jumlah cukai yang didakwa kurang dilaporkan ialah RM2,526,144.24.

Chew didakwa mengikut Subseksyen 114(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Jika sabit kesalahan, dia boleh didenda antara RM2,000 hingga RM20,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pegawai pendakwa LHDN, Azniwati Yahya, memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam N Dylan yang mewakili Chew memohon jumlah jaminan lebih rendah.

Beliau berkata anak guamnya mempunyai keluarga dan pekerjaan tetap di Pulau Pinang selain tidak berisiko melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan Chew diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan pada 28 Oktober ini, selain penyerahan dokumen berkaitan. - Getaran, 2 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved