Digantung Bersatu: Abu Bakar kekal Menteri Besar

LocalPolitics
22 Oct 2026 • 6:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Digantung Bersatu: Abu Bakar kekal Menteri Besar

KANGAR: Abu Bakar Hamzah kekal menerajui kerajaan Perlis sebagai Menteri Besar meskipun keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) digantung selama dua penggal pemilihan parti.

Beliau menjelaskan penggantungannya adalah atas urusan parti yang tidak ada kena me­ngena dengan pentadbiran negeri.

“Tidak ada kesan keputusan penggantungan parti dengan pentadbiran kerajaan negeri dan sesetengah pihak jangan keliru dalam soal ini.

“Sebagai pemimpin atau ahli (Bersatu), soal penggantungan tersebut adalah berkaitan urusan parti dan sebagai Menteri Besar saya kekal meneruskan pentadbiran negeri mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

“Jangan keliru, penggantu­ngan tidak ada kena mengena dengan pentadbiran kerajaan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Semalam media melaporkan, Abu Bakar digantung keahlian Bersatu selama dua penggal pemilihan parti berkuat kuasa 13 Oktober lalu.

Penggantungan tersebut di­sahkan Pengerusi Bersatu negeri, Izizam Ibrahim yang memaklumkan surat berhubung tindakan berkenaan sudah dikeluarkan minggu lalu.

Surat bertarikh 14 Oktober 2026 itu ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd. Radzi Manan dan memaklumkan keputusan penggantungan itu.

Susulan keputusan itu, Abu Bakar turut dilucutkan daripada semua jawatan yang dipegang dalam parti dan dilarang membuat sebarang kenyataan atas nama Bersatu sepanjang tempoh penggantungan berkenaan.

Bagaimanapun, notis itu menyatakan Abu Bakar masih boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan parti dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan untuk membela diri dan mendapatkan pertimbangan lanjut.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, beliau juga akur de­ngan keputusan parti dan akan mengemukakan rayuan mengikut proses-proses sepatutnya.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan berkata, pentadbiran negeri masih berjalan seperti biasa disebalik penggantungan Abu Bakar dalam parti itu.

Katanya, beliau juga masih belum menerima pemakluman daripada mana-mana pihak buat masa ini berhubung perkembangan tersebut.

Beliau berkata, kedudukan Abu Bakar juga terserah kepada pendirian enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di negeri ini.

“Apa pun, masih ada tempoh dua minggu untuk Abu Bakar merayu keputusan penggantungan parti itu. Mungkin ada keputusan yang akan dibuat selepas itu,” katanya.-UTUSAN.

The post Digantung Bersatu: Abu Bakar kekal Menteri Besar appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved