Digantung keahlian Bersatu: MB Perlis akan buat rayuan, pentadbiran berjalan seperti biasa

LocalPolitics
22 Oct 2026 • 9:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Digantung keahlian Bersatu: MB Perlis akan buat rayuan, pentadbiran berjalan seperti biasa
Abu Bakar

KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah akan mengemukakan rayuan rasmi berhubung keputusan penggantungan keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selama dua penggal pemilihan.

Beliau berkata, pihaknya akur dengan keputusan Lembaga Disiplin Bersatu, namun akan mengemukakan rayuan mengikut saluran dan proses yang ditetapkan parti.

Bagaimanapun, Abu Baker menegaskan penggantungan tersebut tidak menjejaskan kedudukannya sebagai Menteri Besar atau kelancaran pentadbiran kerajaan negeri yang akan diteruskan seperti biasa.

“Tidak ada kesan keputusan penggantungan parti dengan pentadbiran kerajaan negeri. Sesetengah pihak diminta jangan keliru dalam soal ini.

“Sebagai pemimpin atau ahli, soal penggantungan itu adalah urusan parti. Sebagai Menteri Besar, saya kekal meneruskan pentadbiran negeri mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis,” katanya pada malam Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan keahlian Abu Bakar digantung berkuat kuasa 13 Oktober lalu susulan dakwaan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.

Perkara itu disahkan Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim, selepas menerima surat bertarikh 14 Oktober yang ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan.

Selain penggantungan keahlian, Abu Bakar turut dilucutkan daripada semua jawatan yang disandangnya dalam parti.

Bagaimanapun, beliau diberikan tempoh 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Bersatu.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus'sele Eizan pada Rabu dilaporkan berkata, pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.

Bagaimanapun, beliau turut menyatakan kedudukan kepimpinan negeri bergantung kepada pendirian enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Perlis.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved