Dikecam kerana jenaka paderi dan biarawati, Noorazli tampil mohon maaf

LocalPolitics
15 Sep 2026 • 1:18 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Dikecam kerana jenaka paderi dan biarawati, Noorazli tampil mohon maaf

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said tampil memohon maaf selepas ucapannya yang menyentuh paderi dan biarawati ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 mencetuskan kritikan serta dianggap tidak sesuai oleh pelbagai pihak.

Noorazli menjelaskan kisah berkenaan digunakan sebagai analogi untuk menyampaikan mesej mengenai kepentingan fokus, ketekunan dan kebijaksanaan dalam mencapai sesuatu matlamat, bukannya bertujuan mempersendakan agama.

“Ia sama sekali tidak dimaksudkan untuk menghina, memperlekehkan atau mempersendakan mana-mana individu, kepercayaan mahupun agama.

“Namun, saya memahami bahawa apabila sesuatu cerita menyentuh figura atau rujukan keagamaan, ia boleh ditafsirkan secara berbeza dan menimbulkan salah faham, khususnya dalam masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kepercayaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, sekiranya penyampaian tersebut menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut Kristian, beliau memohon maaf.

“Jika penyampaian saya dalam ucapan tersebut telah menimbulkan salah faham atau menyinggung perasaan mana-mana pihak, khususnya penganut agama Kristian, saya dengan rendah hati memohon maaf,” katanya.

Noorazli turut mengakui kontroversi itu menjadi pengajaran kepadanya untuk lebih berhati-hati dalam memilih analogi ketika menyampaikan pandangan pada masa akan datang.

View on Threads

Kontroversi tercetus selepas rakaman ucapannya pada PAU 2026 tular di media sosial, dengan sebahagian pengguna menyifatkan jenaka berkenaan tidak wajar kerana menyentuh figura keagamaan dan didakwa mempunyai unsur seksual.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh sebelum itu turut mengkritik ucapan berkenaan dan menegaskan agama tidak seharusnya dijadikan bahan jenaka.

“Bayangkan jika lawak paderi yang diungkapkan ini digantikan dengan imam dan orang Islam, maka pastinya kita juga akan marah.

“Maka jika kita marah bila diperlakukan sebegitu, maka kita tidak seharusnya buat pada orang lain juga,” katanya.

Akmal turut menegaskan kenyataan tersebut merupakan pandangan peribadi Noorazli dan tidak menggambarkan pendirian UMNO.

Dalam pada itu, beberapa pemimpin lain termasuk Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Pengerusi Barisan Nasional Sabah, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup turut dilaporkan menggesa permohonan maaf secara terbuka kepada masyarakat Kristian.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid pula dilaporkan mempertikaikan bentuk permohonan maaf berkenaan dan menyifatkan isu tersebut tidak seharusnya dianggap sekadar kesilapan ketika berucap.

Noorazli bagaimanapun berharap penjelasan yang diberikan dapat meredakan salah faham sambil menegaskan beliau menghormati setiap agama dan kepercayaan serta mahu keharmonian masyarakat majmuk terus dipelihara.

The post Dikecam kerana jenaka paderi dan biarawati, Noorazli tampil mohon maaf appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved