Diperdaya Lelaki Menyamar Bomoh, Suri Rumah Rugi RM554,000 

30 Oct 2026 • 9:52 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Diperdaya Lelaki Menyamar Bomoh, Suri Rumah Rugi RM554,000 

SIBU - Seorang suri rumah berusia 64 tahun mengalami kerugian sebanyak RM554,525 selepas menjadi mangsa penipuan seorang lelaki yang menyamar sebagai bomoh.

Suspek mendakwa kononnya mampu memulihkan kesihatan anaknya serta menyelesaikan masalah berkaitan tanah milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori itu ditahan di sebuah medan selera di Sibu Jaya kira-kira jam 9 malam, Rabu lalu.

Menurutnya, mangsa yang berasal dari Sibu mula berkenalan dengan suspek di sebuah kedai kopi di Sibu Jaya Jun tahun lalu, ketika hadir bersama tiga rakan untuk mendapatkan bantuan berhubung masalah kesihatan yang dialami anaknya.

"Suspek mendakwa mampu merawat anak mangsa dari jarak jauh sebelum memberikan sebotol minyak untuk ldisimpan di dalam beg sebagai pelindung diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa kemudian mendapati keadaan kesihatan anaknya menunjukkan perubahan positif dalam tempoh sebulan selepas pertemuan tersebut.

Bagaimanapun, pada Oktober tahun lalu, suspek sekali lagi menghubungi mangsa dan mengatur pertemuan di kedai kopi sama dengan mendakwa mampu menyelesaikan masalah berkaitan tanah miliknya menerusi kaedah spiritual.

Suspek kemudiannya berhubung dengan mangsa melalui aplikasi WhatsApp sebelum mengarahkannya memindahkan wang bagi membeli barangan yang kononnya diperlukan untuk upacara miring.

Mathew berkata, mangsa seterusnya diarahkan membuat beberapa transaksi ke dalam enam akaun bank berbeza sehingga keseluruhan wang yang dipindahkan mencecah RM554,525.

Mangsa mula mengesyaki dirinya ditipu sebelum tampil membuat laporan polis.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam operasi penahanan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Realme bersama kad SIM Maxis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Saratok bagi membantu siasatan. - Getaran, 30 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved