
BAGAN DATUK – Seorang suri rumah di sini kerugian RM18,408 setelah menjadi mangsa penipuan tawaran kerja atau job scam pada 30 September lalu.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd. Jali berkata, pada tarikh berkenaan, wanita berusia 23 tahun itu telah melayari satu pautan di media sosial Facebook.
Katanya, mangsa telah tertarik dengan iklan bekerja dari rumah (part-time job) iaitu membungkus barang dengan dijanjikan akan diberi komisen.
“Mangsa telah menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan tersebut, yang kemudiannya diarahkan untuk masuk ke aplikasi Telegram bagi meneruskan urusan.
“Pengendali Telegram tersebut meminta mangsa untuk mengisi borang maklumat peribadi,” katanya di sini hari ini.
Mohammad Ali berkata, seterusnya, mangsa diminta membuat tempahan membungkus barang setiap hari dan sebaik sahaja barang sampai ke alamat rumah, mangsa perlu membuat penghantaran.
Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran pendahuluan atas borang atau tugasan yang dibuat terlebih dahulu.
“Mangsa telah melakukan 12 siri transaksi wang kepada beberapa akaun yang melibatkan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM18,408.
“Hasil siasatan mendapati mangsa telah ditipu apabila diarahkan beberapa kali untuk memasukkan wang tanpa dibayar komisen di mana segala transaksi mangsa kepada pemilik nombor akaun yang diberi adalah akaun keldai,” katanya.
Beliau berkata, akaun Facebook yang digunakan oleh suspek itu dicipta adalah tujuan untuk sindiket penipuan wang.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu kesalahan menipu atau perdayaan secara tidak jujur mendorong mangsa menyerahkan wang.
“Hukuman bagi pelaku penipuan, jika disabitkan kesalahan wajib dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, hukuman sebat dan juga dikenakan denda,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Suri rumah rugi RM18,408 diperdaya job scam appeared first on Kosmo Online.






