
TELUK INTAN – Polis berjaya menumpaskan kegiatan licik sindiket memproses pembukaan akaun Alipay bagi tujuan penerimaan dan pemindahan wang hasil penipuan perjudian dalam talian (online) dengan penangkapan lima individu warga tempatan dan lapan orang lelaki warganegara Myanmar.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, sindiket tersebut menawarkan bayaran sebanyak RM500 kepada mana-mana individu yang sanggup membuka akaun Alipay dengan menyerahkan butiran pasport Malaysia.
“Sindiket dipercayai telah berjaya membuka 60 akaun Alipay dengan menggunakan butiran diri penduduk setempat. Berdasarkan siasatan awal, sindiket ini bertindak sebagai ejen gerbang bayaran (payment gateway) yang membuka akaun Alipay bagi menerima dan memindahkan wang hasil penipuan perjudian dalam talian yang menyasarkan warganegara China,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini hari ini.
Katanya, sindiket ini menerima keuntungan dua peratus dari nilai transaksi kemasukan wang ke akaun Alipay tersebut dengan anggaran keuntungan yang diterima sebanyak RM2,000 setiap hari.
“Telefon bimbit dan kad sim yang dirampas digunakan untuk imbasan muka bagi pendaftaran akaun Alipay berkenaan. Sindiket ini telah mula menjalankan aktiviti ini sejak pertengahan Julai lalu,” katanya.
Mohd. Alwi memaklumkan, kes disiasat mengikut Seksyen 424 A Kanun Keseksaan/Seksyen 120 (b) Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Sindiket tawar RM500 untuk buka akaun buat judi online appeared first on Kosmo Online.






