Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK).
Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MMK pada 15 September lalu, sebelum Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) diminta meneruskan proses pewartaan mengikut peraturan sedia ada.
“Pada hari ini saya ingin mengesahkan bahawa proklamasi memang telah dibincangkan dan diputuskan oleh semua Exco secara sebulat suara pada mesyuarat MMK pada 15 September (Selasa) lalu.
“Proses pewartaan sudah pun kita minta untuk Setiausaha Kerajaan Negeri untuk teruskan mengikut peraturan sedia ada,” katanya, hari ini.

Kredit Foto: Mohd Amin Jalil | Harian Metro
Sebelum ini, Ismail memaklumkan bahawa tiada sesi soal jawab dibenarkan dan beliau hanya akan memberikan penjelasan secara ringkas.
Pengesahan itu dibuat susulan kenyataan MMK Negeri Sembilan semalam yang memaklumkan keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.

Kredit Foto: BERNAMA
Dalam kenyataan berkenaan, MMK turut memaklumkan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan itu, proklamasi berkenaan yang bertarikh 19 April 2026 didakwa telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuasa, selaras dengan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Barisan Exco turut menyatakan bahawa pemilihan Tuanku Nadzaruddin menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April 2026 telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuasa.

Perkembangan itu berlaku ketika pertikaian berhubung dokumen proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz terus menjadi perhatian.
Pada 9 September lalu, beberapa Undang mendedahkan dokumen yang didakwa ditandatangani Ismail bagi mengesahkan proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz. Ismail sebelum ini mengakui menandatangani dokumen berkenaan tetapi mendakwa beliau dipaksa berbuat demikian serta telah membuat laporan polis.
Pada 6 September lalu, Ismail turut menzahirkan sokongan dan taat setia kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sambil menegaskan fokusnya adalah menjalankan amanah sebagai Menteri Besar demi kepentingan rakyat dan negeri.
Polis sebelum ini mengesahkan siasatan berhubung dakwaan Ismail dipaksa menandatangani proklamasi berkenaan masih dijalankan.
Sumber: The Star (Sarban Singh)






