
BENTONG – Seorang mahasiswa sebuah universiti mengalami kerugian RM32,115 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai polis dengan taktik mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram.
Pemangku Ketua Polis Daerah Bentong, Deputi Superintendan Azmi Mahmod berkata, mangsa berusia 18 tahun itu menyerahkan wang tunai RM6,115 dan barang kemas milik ibu bapanya bernilai RM26,000 kepada seorang wanita yang memakai pelitup muka di kawasan berhampiran sebuah pasar raya di Karak, dekat sini.
“Siasatan awal mendapati kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis pada 7 Oktober lalu.
“Individu tersebut mendakwa mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram serta mengugut bahawa mangsa akan ditangkap sekiranya tidak mematuhi arahan yang diberikan.
“Akibat takut dengan ugutan tersebut, mangsa diperdaya untuk mengambil wang tunai dan barang kemas milik ibu bapanya kononnya bagi tujuan menyelesaikan kes berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, susulan laporan yang diterima pada 10 Oktober lalu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong menahan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun kira-kira pukul 6.20 petang di kawasan berhampiran pasar raya berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Mahasiswa serah duit, barang kemas ibu selepas ditipu polis palsu appeared first on Kosmo Online.






