Dituduh Cederakan 2 Anggota Polis, Shuhaily Dijangka Didakwa Esok

LocalPolitics
20 Oct 2026 • 5:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Dituduh Cederakan 2 Anggota Polis, Shuhaily Dijangka Didakwa Esok

KUALA LUMPUR - Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Sepang esok berhubung insiden membabitkan dua anggota polis di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Berita Harian yang memetik kenyataan sumber melaporkan, pertuduhan itu dijangka dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 17 Oktober lalu memaklumkan, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengembalikan kertas siasatan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, AGC meminta beberapa penambahbaikan dilakukan terhadap kertas siasatan berkenaan sebelum keputusan mengenai tindakan seterusnya dapat dibuat.

“Polis masih melengkapkan siasatan. AGC memaklumkan bahawa terdapat beberapa penambahbaikan yang perlu dilakukan terhadap kertas siasatan itu,” katanya.

Menurut Saifuddin, kertas siasatan tersebut merangkumi keterangan saksi yang direkodkan serta maklumat lain dikumpulkan sepanjang proses siasatan sebelum diserahkan kepada AGC.

Beliau menjelaskan, AGC perlu berpuas hati sepenuhnya dengan hasil siasatan sebelum membuat keputusan.

Sekiranya terdapat perkara yang perlu diperbaiki, kertas siasatan lazimnya akan dikembalikan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, polis telah diarahkan melengkapkan siasatan mengikut keperluan yang ditetapkan oleh AGC.

Sementara itu, Mohd Shuhaily mengesahkan beliau telah dimaklumkan mengenai pertuduhan yang bakal dihadapinya dan bersedia hadir ke Mahkamah Majistret Sepang esok bagi mengikuti prosiding berkenaan.

“Saya bersedia menghadapi proses undang-undang negara esok. Saya menerima dan menghormati apa jua keputusan yang dibuat, dan saya akan hadir ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengulangi kenyataan terdahulu bahawa usaha memperkukuh keselamatan sempadan Malaysia menuntut pengorbanan tertentu, sambil menegaskan kesediaannya menanggung sendiri apa jua implikasi yang timbul.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus memberikan sokongan sepanjang beliau melaksanakan tanggungjawabnya.

Shuhaily juga berterima kasih kepada mereka yang mendoakan kesejahteraannya serta berharap segala urusan dipermudahkan.

“Saya juga berterima kasih kepada mereka yang terus mendoakan saya dan agar segala urusan dipermudahkan ketika saya menjalankan tanggungjawab,” katanya. - Getaran, 20 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved