Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tampil memberi respons dan memperbetulkan dakwaan seorang pengguna media sosial yang mendakwa kes melibatkan pelajar Zara Qairina seolah-olah dibiarkan sepi.
Penjelasan itu diberikan selepas seorang pengguna media sosial meninggalkan komen yang mempersoalkan kedudukan Fadhlina dalam barisan kabinet kerajaan MADANI.
Artikel berkaitan: Fadhlina Dedah Dewan Sekolah Tiada CCTV, Nafi Irene Sofiya Diseret Dari Surau
Artikel berkaitan: “Saya tak rasa desakan untuk meletak jawatan itu adalah supaya saya benar-benar berundur” – Fadhlina Sidek
Malah, individu berkenaan turut mendakwa kes kematian remaja 13 tahun, Zara Qairina kini sudah ‘senyap’ tanpa sebarang perkembangan.

Tidak mendiamkan diri dengan tuduhan tersebut, Fadhlina Sidek menerusi hantaran balasnya menegaskan bahawa kes itu langsung tidak senyap seperti yang digembar-gemburkan.
Sebaliknya, proses undang-undang sedang berjalan rapi dan telah melibatkan puluhan saksi, malah beliau turut kepilkan berita terkini mengenai kes tersebut.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menghormati proses kehakiman yang sedang berlangsung dan tidak menyebarkan perkara yang tidak benar.
“Kes anakanda Zara bukan senyap. Mahkamah Koroner dah selesai dengar keterangan 83 saksi dan keputusan inkues dijadualkan pada 15 Januari 2027. Hormat proses mahkamah yang sedang berjalan. Kita semua mahukan keadilan untuk anakanda Zara. Tak baik tipu kata senyap terus,” tulisnya.

Sumber : Threads
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





