DKU nafi Tuanku Muhriz campur tangan urusan Luak Sungei Ujong

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 10:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: DKU nafi Tuanku Muhriz campur tangan urusan Luak Sungei Ujong

SEREMBAN – Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menegaskan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak pernah campur tangan dalam urusan Luak Sungei Ujong, sebaliknya hanya menerima keputusan pemberhentian Undang yang telah dibuat oleh Luak berkenaan mengikut adatnya.

Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin, berkata perkara itu jelas berdasarkan rekod sidang Dewan pada 17 April 2026, sekali gus bertentangan dengan dakwaan dalam Dokumen tersebut, khususnya perenggan 13 dan 14.

Menurutnya, perkara yang dibawa ke hadapan Dewan pada sidang itu ialah aduan yang dibuat oleh wakil-wakil Telaga Undang Luak Sungei Ujong, iaitu Ibu Soko dan Waris Klana Hulu.

Beliau berkata, kedua-dua wakil berkenaan telah pun memberhentikan Mubarak Thahak @ Dohak daripada jawatan Undang mengikut adat Luak tersebut melalui surat pemberhentian yang diserahkan pada 13 Mei 2025.

“Tuanku Muhriz dengan jelas menegaskan bahawa kuasa adat untuk memilih, melantik dan memberhentikan Undang terletak pada Luak itu sendiri di bawah Perkara 14(1) dan (3).

“Mana-mana ahli Dewan, termasuk Tuanku sendiri, tidak mempunyai kuasa untuk menyokong atau menolak keputusan Luak sedemikian,” katanya dalam kenyataan di sini.

Raja Norazli berkata, selaras dengan pendirian itu, Dewan menerima pemberhentian berkenaan sebagai keputusan yang telah dibuat oleh Luak menurut adatnya sendiri di bawah Perkara 14(3).

Katanya, pandangan ahli-ahli Dewan turut diminta sebelum kesimpulan itu dicapai dan minit sidang merekodkan tiada bantahan seterusnya daripada ahli-ahli apabila Tuanku Muhriz selaku Yang di-Pertua Dewan mengumumkan keputusan Dewan menerima pemberhentian tersebut.

“Dewan tidak memberhentikan mana-mana Undang. Tuanku Muhriz juga tidak berbuat demikian dan Dewan menerima keputusan yang telah dibuat oleh Luak untuk memberhentikan Undang Luak Sungei Ujong,” katanya.

Raja Norazli menegaskan, sidang pada 17 April 2026 bukanlah suatu campur tangan dalam urusan Luak, sebaliknya merupakan pelaksanaan fungsi Dewan sebagaimana yang dikehendaki oleh Perkara 16.

“Ia merupakan Dewan menjalankan fungsinya untuk menerima dan memberi nasihat berhubung keputusan yang telah pun dibuat oleh Luak menurut adat,” katanya.-KOSMO! ONLINE

 

The post DKU nafi Tuanku Muhriz campur tangan urusan Luak Sungei Ujong appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved