‘Polis, AGC, Sila Buru Pihak Cabar Kedaulatan Tuanku Muhriz’ - DKU 

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 9:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

‘Polis, AGC, Sila Buru Pihak Cabar Kedaulatan Tuanku Muhriz’ - DKU 

SEREMBAN - Pihak polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa menyiasat serta mendakwa pihak yang melakukan kesalahan jenayah dalam usaha mencabar kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan, Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah, manakala dokumen dan tindakan kumpulan terbabit tidak mempunyai asas perlembagaan untuk menggugurkan kedudukan baginda.

Menerusi kenyataan setebal 17, DKU  secara terperinci mempertikaikan kesahihan dokumen bertarikh 19 April yang didakwa sebagai pemasyhuran untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz.

DKU menegaskan dokumen itu gagal memenuhi syarat asas Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, khususnya keperluan menjalankan “siasatan yang lengkap dan menyeluruh” sebelum Undang boleh meminta Yang di-Pertuan Besar berundur.

Masalahnya jelas DKU, tiada rekod menunjukkan siasatan itu pernah berlaku.

Rekod persidangan DKU pada 5 Mac juga tidak menunjukkan sebarang siasatan mengenai kedudukan Tuanku Muhriz, malah baginda tidak pernah dimaklumkan mengenai siasatan atau diberikan peluang untuk menjawab.

DKU turut menolak hujah bahawa tiga persoalan yang dikemukakan kepada Tuanku Muhriz pada 5 Mac, diikuti tempoh 45 hari, sudah memadai untuk memenuhi kehendak Perlembagaan.

“Tempoh masa yang berlalu bukanlah satu siasatan,” tegas DKU.

Dengan itu, menurut DKU, tempoh 45 hari tidak boleh secara automatik bertukar menjadi siasatan yang tidak pernah dijalankan.

Kesahihan dokumen 19 April turut dipersoalkan kerana beberapa individu yang menandatanganinya sebagai Undang didakwa tidak lagi diiktiraf secara sah sebagai pemegang jawatan tersebut.

DKU menegaskan, keputusannya berhubung pelantikan, pemecatan atau kekosongan jawatan Undang adalah muktamad di bawah Perkara 16(3) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Maka, menurut DKU, syarat berkaitan jumlah Undang yang diperlukan untuk menggunakan kuasa di bawah Perkara 10 juga tidak dipenuhi sejak awal.

Persoalannya, kata DKU, bagaimana satu dokumen boleh dijadikan asas untuk menggugurkan seorang pemerintah jika syarat perlembagaan yang menjadi asas kepada dokumen itu sendiri tidak dipenuhi?

DKU turut menolak tindakan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, menandatangani dokumen berkenaan pada 3 Ogos.

Menurutnya, Datuk Seri Aminuddin Harun yang merupakan Menteri Besar ketika dokumen itu dikemukakan pada April telah enggan menandatanganinya pada 20 April.

Perkara 10, kata DKU, menetapkan pemasyhuran perlu dikeluarkan secepat mungkin selepas keputusan dibuat dan ditandatangani oleh Undang serta Menteri Besar.

"Ismail pula bukan Menteri Besar pada 19 April dan tidak hadir ketika dokumen terbabit ditandatangani," katanya.

Justeru, DKU menegaskan tandatangan yang diberikan lebih tiga bulan kemudian tidak boleh menghidupkan semula proses yang telah luput.

Lebih menarik, DKU turut menunjukkan percanggahan yang disifatkan amat jelas dalam pendirian kumpulan terbabit.

Di satu pihak, mereka mendakwa Tuanku Muhriz telah berhenti menjadi pemerintah pada 19 April manakala di pihak lain, proses berkenaan dikatakan hanya selesai pada 3 Ogos apabila Ismail menandatangani dokumen tersebut.

Jika baginda sudah terhenti memegang jawatan pada 19 April, atas dasar apa proses yang kononnya menggugurkan baginda masih memerlukan penyelesaian pada 3 Ogos?

DKU berkata, kedua-dua kedudukan itu tidak boleh berdiri serentak.

Apa yang berlaku selepas 19 April juga menjadi persoalan dan DKU turut mengemukakan siri tindakan rasmi selepas 19 April yang menurutnya sukar diselaraskan dengan dakwaan Tuanku Muhriz telah kehilangan kedudukan sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Pada 5 Jun, Tuanku Muhriz membubarkan DUN Negeri Sembilan dan pada 2 Ogos pula, Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Tuanku Muhriz, sehari selepas pilihan raya negeri.

Seramai 10 Exco kemudiannya mengangkat sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti.

Ismail juga menghadiri persidangan DKU pada 20 Ogos yang dipengerusikan Tuanku Muhriz dan memberikan taklimat mengenai perkembangan negeri.

Bagi DKU, rangkaian tindakan rasmi itu bercanggah dengan dakwaan Tuanku Muhriz telah terhenti memegang jawatan pada 19 April.

DKU turut menolak kesahihan perhimpunan pada 5 September yang digambarkan kumpulan terbabit sebagai “persidangan khas”.

Menurutnya, hanya terdapat satu Dewan Keadilan dan Undang di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Perhimpunan tersebut pula tidak dipanggil dengan persetujuan Tuanku Muhriz atau melalui Setiausaha DKU, maka tegas DKU, ia bukan persidangan DKU yang sah.

Lebih memburukkan keadaan, kata DKU, perhimpunan berkenaan diadakan ketika injunksi interim Mahkamah Tinggi bertarikh 5 Jun masih berkuat kuasa.

Injunksi tersebut melarang plaintif dalam prosiding berkenaan, termasuk individu yang dikaitkan dengan dokumen dipertikaikan, daripada mengadakan atau menyertai mesyuarat yang didakwa sebagai mesyuarat DKU serta mengambil tindakan yang boleh mengubah status quo pentadbiran dan urusan badan itu.

DKU turut menolak dua surat bertarikh 30 September yang dihantar kepada Ketua Setiausaha Negara dan Peguam Negara.

Surat itu antara lain meminta campur tangan Kerajaan Persekutuan berkaitan kedudukan Setiausaha Kerajaan Negeri serta supaya dokumen yang dikeluarkan atas nama Tuanku Muhriz tidak dilaksanakan tanpa persetujuan kumpulan terbabit.

DKU menegaskan individu yang menandatangani surat berkenaan tidak mempunyai kuasa berperlembagaan untuk mengeluarkan arahan tersebut.

Lebih keras, DKU menyifatkan tindakan itu sebagai satu penderhakaan dan berkata, ia berpotensi menjadi kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

DKU memberi amaran, penjawat awam negeri dan Persekutua tidak boleh melaksanakan arahan daripada individu yang kedudukannya sebagai pihak berkuasa dipertikaikan.

Menurutnya, penjawat awam terikat dengan Perlembagaan negeri dan Persekutuan, undang-undang, perintah mahkamah serta rantaian arahan yang sah.

Tegas DKU, dokumen 19 April tidak mematuhi Perkara 10, bercanggah dengan Perlembagaan dan tidak mempunyai sebarang kesan.

Tuanku Muhriz jelas DKU lagi, Tuanku Muhriz kekal Yang di-Pertuan Besar dan Pengerusi DKU serta tiada kekosongan dalam jawatan berkenaan.

DKU turut menolak dakwaan Negeri Sembilan mempunyai pemerintah secara kolektif atau lebih daripada seorang pemerintah yang terdiri daripada Yang di-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat.

Sebaliknya, ia merujuk Perkara 7 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan yang memperuntukkan Yang di-Pertuan Besar menjalankan fungsi dan kuasa seorang pemerintah serta mempunyai keutamaan mengatasi semua pihak lain di negeri itu.

DKU turut mencabar mana-mana pihak mendakwa “siasatan yang lengkap dan menyeluruh” telah dijalankan di bawah Perkara 10 supaya mengemukakan rekod lengkap siasatan itu kepada forum yang mempunyai bidang kuasa untuk menentukannya.

Menurut DKU, perkara berkaitan persidangan 17 April kini berada di Mahkamah Tinggi dan pihaknya akan menjawab isu tersebut melalui proses undang-undang.

Pada masa sama, DKU menggesa Kerajaan Persekutuan dan negeri, penjawat awam serta orang ramai supaya tidak memberikan pengiktirafan atau kesan kepada dokumen yang dipertikaikan bertarikh 19 April, 5 September dan 2 Oktober, termasuk surat 30 September yang bersandarkan dokumen berkenaan.

Pendek kata, pendirian DKU tidak pernah berubah: dokumen yang didakwa menggugurkan Tuanku Muhriz tidak mengubah kedudukan baginda, proses yang mendasarinya dipertikaikan dari sudut perlembagaan, dan tiada kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. - Getaran, 4 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved