DKU tegaskan Tuanku Muhriz kekal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 9:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: DKU tegaskan Tuanku Muhriz kekal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
Tuanku Muhriz

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Setiausaha Dewan Raja Norazli Raja Nordin berkata, Tuanku Muhriz dipilih oleh para Undang dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar ke-11 pada 29 Disember 2008 serta ditabalkan secara rasmi menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) pada 26 Oktober 2009.

Beliau berkata, Tuanku Muhriz terus memegang jawatan itu, bersama dengan jawatan Yang Dipertua Dewan di bawah Perkara 19.

"UUTKNS 1959 memperuntukkan satu-satunya cara yang sah bagi jawatan tersebut menjadi kosong, jika dikatakan bahawa para Undang telah menyeru Duli Yang Maha Mulia supaya berundur atau turun takhta, Perkara 10 mensyaratkan penyiasatan yang secukupnya dan sepenuhnya oleh para Undang; suatu penentuan bahawa wujud alasan yang dinyatakan dalam Perkara 10 tersebut.

"Pelaksanaan kuasa itu oleh orang-orang yang memegang jawatan Undang secara sah dalam bilangan yang dikehendaki oleh Perkara 29 dan suatu proklamasi di bawah Perkara 10(2)," katanya dalam perutusan rasmi di sini hari ini.

Raja Norazli berkata, tiada satupun daripada syarat berkenaan telah dipenuhi.

Beliau berkata, sehubungan dengan itu, Tuanku Muhriz terus menjalankan fungsi jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sejak 19 April lepas dan Dewan terus bersidang dengan baginda selaku Yang Dipertua.

Susulan itu, Raja Norazli berkata, tiada kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Besar dan Perkara 11 hanya terpakai apabila jawatan berkenaan kosong serta tidak boleh digunakan untuk memilih pengganti selagi ia dipegang secara sah.

"Tempoh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz memegang jawatan tersebut hanya boleh ditamatkan menurut cara yang diperuntukkan oleh UUTKNS 1959.

"Dewan tidak mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai memegang jawatan tersebut," katanya.

Dalam pada itu Raja Norazli berkata, tiada sebarang campur tangan oleh Tuanku Muhriz dalam urusan Luak Sungei Ujong semasa sesi persidangan pada 17 April lepas.

Beliau berkata, rekod Dewan menunjukkan perkara yang dibawa ke hadapan Dewan ialah aduan wakil Telaga Undang Luak Sungei Ujong, iaitu Ibu Soko dan Waris Klana Hulu.

"Mereka telah memberhentikan Mubarak Thahak @ Dohak daripada jawatan Undang menurut adat Luak tersebut, melalui surat pemberhentian yang diserahkan pada 13 Mei 2025.

"Tuanku Muhriz dengan jelas menegaskan bahawa kuasa adat untuk memilih, melantik dan memberhentikan Undang terletak pada Luak itu sendiri di bawah Perkara 14(1) dan (3), dan bahawa mana-mana Ahli Dewan, 'termasuk Tuanku sendiri', tidak mempunyai kuasa untuk menyokong atau menolak keputusan Luak sedemikian," katanya.

Beliau berkata oleh itu, Dewan menerima pemberhentian tersebut sebagai keputusan yang dibuat oleh Luak menurut adatnya sendiri di bawah Perkara 14(3).

"Pandangan Ahli-Ahli diminta sebelum kesimpulan itu dicapai dan minit merekodkan bahawa tiada bantahan seterusnya daripada Ahli-Ahli apabila Tuanku Muhriz selaku Yang Dipertua Dewan mengumumkan keputusan Dewan untuk menerima pemberhentian tersebut," katanya.

Beliau berkata, Dewan tidak memberhentikan mana-mana Undang dan Tuanku Muhriz juga tidak berbuat demikian.

Raja Norazli menjelaskan bahawa Dewan menerima keputusan yang dibuat oleh Luak untuk memberhentikan Undang Luak Sungei Ujong.

"Maka, sidang pada 17 April bukanlah suatu campur tangan dalam urusan Luak, malah sebaliknya. Ia merupakan Dewan menjalankan fungsinya sebagaimana yang dikehendaki oleh Perkara 16, iaitu menerima dan memberi nasihat berhubung keputusan yang telah pun dibuat oleh Luak menurut adat," katanya.

Beliau juga berkata Mubarak telah diberhentikan daripada jawatan Undang Luak Sungei Ujong oleh Luaknya, menurut adat Luak tersebut, berkuat kuasa pada 13 Mei 2025 (nasihat bertarikh 17 April 2026).

Raja Norazli berkata, Maarof Mat Rashad pula telah diberhentikan daripada jawatan Undang Luak Jelebu oleh Luaknya, menurut adat Luak tersebut, berkuat kuasa pada 31 Mei 2023 (nasihat bertarikh 31 Julai 2026);

"Abdul Rahim Yasin tidak pernah dilantik secara sah sebagai Undang Luak Rembau menurut adat yang dikehendaki kerana pelantikannya tidak pernah disempurnakan melalui Istiadat Menzahirkan Kejadian Undang (nasihat bertarikh 31 Julai)," katanya.

Beliau juga berkata, Badarudin Abdul Khalid telah terhenti daripada memegang jawatan Dato' Shahbandar Sungei Ujong melalui Luruh Pusaka yang diisytiharkan oleh anak waris dan Ibu Soko Waris di Ayer pada 30 Julai 2026 (diperakui pada 31 Julai 2026).

Raja Norazli berkata oleh itu, jawatan Undang Luak Sungei Ujong kini disandang oleh Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari manakala Undang Luak Rembau ialah Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid manakala Undang Luak Johol ialah Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Datuk Muhammed Abdullah.

"Jawatan Undang Luak Jelebu dan jawatan Dato' Shahbandar Sungei Ujong pada masa ini adalah kosong," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, Dewan mengekalkan keputusannya pada 31 Julai 2026 bahawa dokumen bertarikh 19 April 2026 tidak mematuhi Perkara 10, tidak berperlembagaan serta tidak mempunyai apa-apa kesan, dan bahawa tiada proses yang sah telah menyebabkan Tuanku Muhriz terhenti daripada memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar.

Selain itu, Raja Norazli berkata, Dewan terus mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang Dipertua Dewan di bawah Perkara 19, tidak mengiktiraf sebarang kekosongan dalam jawatan tersebut serta tidak mengiktiraf mana-mana orang lain sebagai pemegangnya.

Beliau berkata, Dewan juga menyeru semua penjawat awam, Negeri dan Persekutuan, supaya terus mentadbir Negeri menurut undang-undang serta rantaian perintah yang sah, dan menghendaki mana-mana pihak yang mendakwa bahawa suatu "penyiasatan yang secukupnya dan sepenuhnya" telah dijalankan supaya mengemukakan rekod lengkap proses itu di hadapan forum yang mempunyai bidang kuasa.

"Semua pihak juga diminta supaya menghormati prosiding di hadapan mahkamah, memelihara ketenteraman awam dan tidak menjadikan adat sebagai alasan untuk mengetepikan UUTKNS 1959," katanya. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved