Tidak menyesal bertanding di Linggi, Aminuddin bangga berjaya didik pengundi

LocalPolitics
1 Aug 2026 • 10:46 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tidak menyesal bertanding di Linggi, Aminuddin bangga berjaya didik pengundi

SEREMBAN – Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan beliau tidak menyesal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi walaupun tewas pada pilihan raya.

Menurutnya yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri, keputusan itu tidak mengubah pendiriannya kerana matlamat utama beliau adalah mendidik masyarakat, khususnya golongan muda, supaya menilai prestasi dan dasar kerajaan berbanding sentimen perkauman.

“Mungkin itulah. Kalau saya bertanding di Sikamat pun mungkin saya kalah. Dengan isu ini, kalau saya bertanding di mana-mana pun saya akan kalah, waima di Chuah sekalipun mungkin akan kalah.

“Apa yang penting bagi saya bukannya kalah atau menang. Saya tidak pernah menyesal. Saya rasa syukur kerana dapat mendidik sebahagian anak bangsa untuk berfikir,” katanya dalam sidang media di command centre PH di Seremban malam ini.

Beliau berkata, walaupun tewas dengan majoriti sekitar 1,700 hingga 2,000 undi, keputusan itu menunjukkan sentimen perkauman tidak diterima sepenuhnya oleh pengundi.

Katanya, sepanjang kempen beliau berusaha mengubah pemikiran masyarakat supaya memberi keutamaan kepada prestasi kerajaan dan pembangunan, bukannya hanya berasaskan kaum.

“Bagi saya, kita berjaya memberikan didikan kepada pengundi bahawa yang penting ialah apa yang hendak kita laksanakan. Kalau kita mahukan sebuah kerajaan yang bekerja dan memastikan pembangunan di negeri serta di peringkat pusat, itulah yang perlu diteruskan,” katanya.

Aminuddin turut melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang menerajui Negeri Sembilan selama lapan tahun sebagai Menteri Besar dan percaya beliau telah berusaha memberikan yang terbaik sepanjang tempoh tersebut.

“Saya akui mungkin ada kelemahan dan tidak semuanya betul, tetapi saya yakin rakyat Malaysia perlu berfikir tentang apa yang mereka mahu lihat pada masa depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Tidak menyesal bertanding di Linggi, Aminuddin bangga berjaya didik pengundi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved