‘Doa kami buat rakyat Malaysia di Nepal’

29 Aug 2026 • 7:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Doa kami buat rakyat Malaysia di Nepal’

SIK – Keluarga pegawai bomba, Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa, 44, yang gagal dihubungi sejak ke­jadian banjir dahsyat di sempa­dan Nepal-Tibet, Rabu masih me­naruh harapan tinggi agar lelaki itu dijumpai dalam keadaan selamat.

Abangnya, Mohd. Saiful Munir, 46, berkata, keluarganya percaya bencana ‘tsunami’ lumpur yang melanda kawasan itu menyebabkan komunikasi terputus dan adiknya tidak dapat dihubungi.

Menurut lelaki itu, ibunya ma­sih belum dimaklumkan menge­nai perkembangan tersebut ke­rana keluarga masih berharap Mohd. Fakhrul Munir selamat dan hanya terputus hubungan.

“Kami ambil positif mungkin kejadian tanah runtuh menyebabkan hubungan komunikasi terputus. Kami belum beritahu ibu selagi belum ada pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai keadaan sebenar adik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Lelaki itu berkata, setakat ini dia sekeluarga masih menunggu perkembangan daripada pihak berkuasa sambil mendoakan keselamatan adiknya.

“Kita doakan yang baik-baik. Kita ambil satu keadaan yang mana dia sebenarnya masih terperangkap, tetapi dalam masa sama perlu reda dan bersedia menerima sebarang kemungkinan,” ujarnya.

Image from: ‘Doa kami buat rakyat Malaysia di Nepal’
Mohd. Fakhrul Munir (depan, kanan) dilaporkan hilang susulan banjir di sempadan Nepal-Tibet pada Rabu lalu. – MEDIA SOSIAL

Katanya, berdasarkan laluan Mohd. Fakhrul Munir, adiknya dipercayai berada di sekitar kawasan lembah ketika bencana itu berlaku.

Pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah itu aktif mendaki dan kerap berkunjung ke Nepal secara purata tiga hingga lima kali setahun.

Selain Mohd. Fakhrul Munir, seorang lagi pegawai bomba turut hilang iaitu Ketua Cawangan Kajian Operasi Pemadaman Kebakaran, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penolong Pesuruhjaya Bomba Mohd. Sani Harul.

Mereka merupakan antara 10 rakyat Malaysia yang dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC). Kumpulan itu tidak mendaki, sebaliknya menggunakan jip mengikut laluan Tibet.

Selain itu, nasib tiga lagi rakyat Malaysia dikenali sebagai Zaki, Adib dan Muhaimin yang dipercayai melakukan pendakian di Langtang Valley juga masih belum diketahui.

Kali terakhir mereka menghantar mesej pada pukul 10.42 pagi, Rabu lalu (waktu Malaysia) sebelum terputus hubungan.

Rakan mereka, Emyliatahar menerusi perkongsian di Threads memaklumkan, lokasi terakhir tiga lelaki itu dikesan berada berhampiran Bhote Koshi.

“Tiga orang kawan kami masih belum dapat dihubungi. Tolong doakan mereka selamat,” katanya.

The post ‘Doa kami buat rakyat Malaysia di Nepal’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved