SHAH ALAM - Isteri kepada pegawai Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa atau Loe pergi ke sebuah hospital di lokasi bencana Nepal bagi membantu mengenal pasti mayat yang ditemukan susulan kejadian banjir besar di negara itu.
Memetik laporan The Star, Hani Othman yang berada di Nepal berkata, beliau berharap tiada seorang pun daripada mayat yang ditemukan itu merupakan suaminya atau anggota kumpulan berkenaan.
"Saya dalam perjalanan ke hospital untuk pengecaman mayat. Saya harap tidak jumpa salah seorang daripada mereka di sini.
"Dalam masa yang sama, rakan-rakan Loe dari Nepal cuba mengedarkan gambar pasukan kepada pihak tentera di lokasi kejadian bagi membantu mencari mereka," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Hani berlepas ke Nepal seorang diri bagi mendapatkan perkembangan terkini usaha mencari suaminya yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi mendaki di negara berkenaan.
Mohd Fakhrul merupakan antara sembilan rakyat Malaysia yang dikenali sebagai 'Team Loe' yang gagal dihubungi selepas banjir melanda daerah Rasuwa.
Kumpulan berkenaan dipercayai berada di sebuah lembah ketika banjir berlaku.
Timbalan Pengarah Bahagian Operasi JBPM, Mohd Sani Harul, turut dilaporkan hilang dalam ekspedisi sama.






