
SIK: Keluarga kepada Mohd. Fakhrul Munir Mohd. Isa yang masih hilang ekoran banjir besar di Nepal terus berharap pegawai bomba itu berada dalam keadaan selamat dan menganggap hanya terputus hubungan buat sementara waktu.
Menurut abangnya, Mohd. Saiful Munir, 46, mereka sekeluarga enggan memikirkan kemungkinan buruk buat masa ini dan percaya banjir serta tanah runtuh yang melanda kawasan berkenaan menyebabkan talian komunikasi terputus, sekali gus menyukarkan mereka menghubungi adiknya.
Katanya, ibu mereka juga masih belum dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan berhubung adiknya kerana keluarga terus berharap Mohd. Fakhrul Munir selamat dan hanya terputus hubungan akibat bencana itu.
“Kami masih mengelak daripada memberitahu ibu mengenai perkara yang negatif kerana belum ada pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai keadaan sebenar adik.
“Kami tetap mengambil sikap positif kerana kejadian tanah runtuh itu menyebabkan hubungan komunikasi terputus. Segala talian telekomunikasi dan pencawang turut runtuh serta lumpuh di sana,” katanya ketika dihubungi semalam.
Selain Mohd. Fakhrul Munir yang bertugas sebagai Pegawai Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, seorang lagi rakan sekerja dilaporkan hilang ialah Ketua Cawangan Kajian Operasi Pemadaman Kebakaran, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Mohd. Sani Harul.
Kedua-dua mereka adalah sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia yang sedang dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC) setelah bertolak ke Nepal pada malam Isnin lalu.
Mohd. Saiful Munir berkata, adiknya sering berada di Nepal kerana aktif dalam aktiviti mendaki dan berkunjung ke negara itu antara tiga hingga lima kali setahun.
“Boleh dikatakan Nepal seperti rumah kedua dia, jadi pemergiannya ke sana bukan sesuatu yang pelik bagi kami kerana kami sudah biasa dengan aktiviti pendakian yang disertainya. Dia juga pernah bertindak sebagai jurupandu membawa kumpulan pendaki ketika berada di sana,” ujarnya.
Jelasnya, kali terakhir dia berhubung dengan adiknya adalah kira-kira seminggu lalu iaitu sebelum Mohd. Fakhrul Munir berlepas ke Nepal, namun perbualan mereka hanya mengenai khabar masing-masing.
Menurut Mohd Saiful Munir, meskipun berfikiran positif bahawa adiknya selamat, mereka bersedia untuk reda menerima kemungkinan paling buruk sekiranya berlaku.-UTUSAN.
The post Mohd. Fakhrul Munir cuma terputus hubungan – Abang appeared first on Utusan Malaysia.





