
PETALING JAYA – “Doakan saya dan anak-anak. Doakan suami syurga saya.”
Demikian luahan isteri kepada Kapten Zainol Afiq, Izzati Syamimi menerusi hantaran di Threads sebentar tadi selepas suaminya dilaporkan antara lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak, petang tadi.
Kapten Zainol Afiq antara lima individu yang dilaporkan menaiki helikopter jenis BO-105 dengan nombor pendaftaran 9M-LLF sebelum kenderaan itu terhempas dan terbakar sehingga mengorbankan kesemua nyawa.
Permintaan Izzati itu turut mengundang simpati orang ramai yang menitipkan doa buatnya, anak-anak serta suaminya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Residen Miri, Galong Luang dilaporkan berkata, kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter itu maut dalam nahas berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM).
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum ini memaklumkan pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada pukul 3.58 petang.
Helikopter berkenaan ketika kejadian sedang menjalankan operasi Perkhidmatan Doktor Udara yang membawa pasukan perubatan ke kawasan pedalaman.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian mengesahkan empat petugas kesihatan kementerian berada dalam helikopter tersebut, terdiri daripada seorang pegawai perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan dua jururawat. – KOSMO! ONLINE
The post Doakan suami syurga saya – Isteri Kapten Zainol Afiq appeared first on Kosmo Online.






