
KUALA LUMPUR - Sembilan tahun lalu, seorang doktor terpaksa memberikan bantuan pernafasan secara manual menggunakan beg Ambu selama kira-kira dua jam ketika membawa seorang bayi kritikal menaiki helikopter ke Kuching.
Doktor berkenaan, Qistina, berkata ketika kejadian beliau sudah berjaga lebih 24 jam dan berada dalam keadaan post-call.
Menurutnya, tiada ventilator mudah alih tersedia di dalam helikopter, menyebabkan beliau perlu terus mengepam beg Ambu sepanjang penerbangan.
“Saya pada hari post-call, memakai scrub yang sama sejak malam sebelumnya. Saya tidak tidur lebih daripada 24 jam,” katanya menerusi perkongsian di laman Threads.
Beliau turut berkongsi video berdurasi tujuh saat yang dirakam ketika kejadian berkenaan, yang memaparkan dirinya sedang memegang bayi terbabit ketika berada di dalam helikopter.
Video berkenaan boleh ditonton di pautan https://www.facebook.com/reel/28199185909747764
Katanya lagi, bayi itu berada dalam keadaan serius dengan tiub dada dipasang pada kedua-dua belah badan selain memerlukan ubat inotropik.
Ibu bayi berkenaan turut menaiki helikopter dan ditempatkan di atas pengusung di bawah tempat duduk juruterbang.
Qistina berkata, kekurangan tenaga kerja di hospital ketika itu menyebabkan tiada doktor kanan lain yang boleh mengiringi bayi tersebut.
Sebahagian doktor sedang bertugas atas panggilan, manakala yang lain baru menamatkan syif atau dijadualkan bertugas pada keesokan harinya.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan seorang jururawat perlu memantau dirinya sepanjang penerbangan bagi memastikan bantuan pernafasan kepada bayi tidak terhenti akibat keletihan.
Jururawat berkenaan turut memantau saluran perubatan bayi dan memastikan tiub dada tidak tercabut.
“Jururawat saya perlu sentiasa memerhatikan saya sekiranya tangan saya berhenti memberikan ventilasi secara manual kepada bayi akibat kurang tidur dan keletihan yang teruk,” katanya.
Qistina turut berkata, pada ketika itu beliau tidak mengetahui bahawa tugasan berkenaan membolehkannya membuat tuntutan.
“Tuntutan? Saya pun tidak tahu kami ada perkara itu,” katanya.
Hospital kemudiannya menanggung kos penginapannya selama satu malam di Sarawak serta penerbangan pulang selepas beliau mengemukakan invois.
Katanya, pada ketika itu dia hanya menganggap pengalaman tersebut sebagai perkara biasa dalam menjalankan tugas sebagai doktor.
“Saya fikir semua itu adalah perkara normal,” katanya.
Namun, pengalaman itu kembali diingatinya sembilan tahun kemudian susulan nahas helikopter terbaharu yang mengorbankan empat petugas kesihatan.
Qistina berkata, doktor sering mengetepikan keselamatan diri ketika menjalankan tugas kerana keutamaan mereka adalah memastikan pesakit menerima rawatan dan sampai ke destinasi dengan selamat.
Menurutnya, tiada seorang pun menandatangani sebarang dokumen sebelum menaiki helikopter berkenaan dan kemungkinan berlaku nahas tidak pernah terlintas di fikirannya.
“Apa yang kami risaukan ada keadaan dan sama ada bayi itu akan selamat sampai ke Kuching,” katanya.
Qistina berkata, beliau berasa sedih kerana kemalangan helikopter dan kematian rakan-rakan dalam kalangan petugas kesihatan menjadi pencetus kepada perhatian terhadap risiko yang mereka hadapi.
“Amat menyedihkan apabila ada tragedi perlu berlaku, dan ada nyawa perlu terkorban terlebih dahulu untuk kementerian mengambil perhatian,” katanya.
Beliau menyeru supaya lebih banyak kesedaran diwujudkan mengenai keselamatan petugas kesihatan dan perubahan dilakukan bagi mengurangkan risiko ketika menjalankan tugasan.
“Marilah kita wujudkan lebih banyak kesedaran. Perubahan sudah lama tertangguh,” katanya. - Getaran, 11 September 2026






