Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Seorang wanita warga Malaysia yang menetap di Perth, Australia maut selepas dipercayai diserang pasangannya dalam kejadian yang dikaitkan dengan keganasan rumah tangga.
Mangsa, Kah Ming Tan, 28, ditemui tidak sedarkan diri di sebuah kediaman di Taree Street, St James kira-kira jam 8.30 malam pada 26 Ogos lalu.
Tan kemudian dikejarkan ke Royal Perth Hospital oleh pasukan St John WA, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.
Diserang beberapa hari sebelum meninggal dunia
Menurut polis, Tan dipercayai diserang pasangannya, Younis Qambari, 38, beberapa hari sebelum dia dimasukkan ke hospital.
Kes tersebut kini disiasat sebagai kes pembunuhan yang mempunyai kaitan dengan keganasan rumah tangga.
Qambari telah didakwa atas pertuduhan membunuh dan kini ditahan polis selepas hadir di Mahkamah Majistret Perth, Jumaat lalu.

Artikel berkaitan: “Hampir terbabas kereta kena langgar”- Jadi Mangsa Keganasan Rumah Tangga, Wanita Cemas Dikejar Suami
Artikel berkaitan: “Masa bercinta baik” – 6 Punca Ni Boleh Jadi Penyebab Penderaan Fizikal Berlaku Dalam Perkahwinan
Kejadian berlaku depan 3 orang anak
Tan dilaporkan pernah bersekolah menengah di Butterworth, Pulau Pinang. Lebih memilukan, dia meninggalkan tiga anak berusia tiga, lima dan tujuh tahun yang berada di kediaman berkenaan ketika dia meninggal dunia.
Saudara kembarnya memberitahu 7NEWS Australia bahawa keluarga masih cuba menerima pemergian Tan yang disifatkan sebagai kehilangan besar buat mereka.
Keluarga Tan juga dikatakan sudah lama bimbang mengenai keselamatannya. Malah, mereka pernah menghubungi polis kira-kira tiga bulan sebelum kejadian selepas mendapati terdapat kecederaan pada tubuh mangsa.
Sementara itu, Premier Australia Barat, Roger Cook menyifatkan kematian Tan sebagai peringatan serius mengenai keperluan menangani keganasan berasaskan gender dan keganasan dalam institusi keluarga.
“Ini kedengaran seperti satu kejadian yang amat mengerikan, lebih-lebih lagi ia berlaku di hadapan kanak-kanak. Ingatan dan simpati kami kepada semua yang terkesan,” katanya.
Dalam pada itu, keluarga Tan melancarkan kempen kutipan dana bagi membantu menanggung keperluan tiga anak mangsa.
Dana berkenaan akan digunakan untuk keperluan penjagaan anak, pendidikan, perbelanjaan harian serta kecemasan sepanjang keluarga berdepan kehilangan Tan.
Sumber: Harian Metro, Getaran
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






