
KUCHING, 11 SEPT: Proses bedah siasat kesemua lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, pada Selasa lalu selesai jam 7.30 malam tadi.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Miri mendapati punca kematian kesemua mangsa adalah disebabkan kecederaan melecur teruk.
“Buat masa ini kita (polis) sedang menunggu keputusan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) untuk pengesahan secara saintifik,” katanya hari ini.
Pada Selasa, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport).
Mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31, serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44.






