
KUALA LUMPUR: Parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) perlu merangka agenda masing-masing untuk diselaraskan bersama rakan muafakat iaitu Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dokumen tawaran baharu yang diselaraskan secara bersama itu penting bagi membentuk kerjasama kukuh di samping menitikberatkan aspek kebolehlaksanaannya.
“Saya mencadangkan supaya parti komponen dalam PN membangunkan agenda yang ingin dicapai. Masing-masing bina dahulu, kemudian kita duduk bersama dan selaraskan melalui kumpulan kerja serta kumpulan pemikir dalam waktu terdekat.
“Walaupun tempoh pilihan raya dilihat masih ada sekitar setahun lagi, ia boleh berlaku pada bila-bila masa pada 2027. Dokumen tawaran dibina bersama itu mestilah komprehensif, realistik, berpijak di alam nyata serta mempunyai sasaran yang boleh dinilai,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Ke-53 di sini, semalam.
Beliau menggariskan enam teras utama yang perlu diberi keutamaan, bermula dengan usaha meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat bagi merapatkan jurang kekayaan serta memastikan kejayaan ekonomi dapat dirasai di peringkat isi rumah.
Kata Ahmad Samsuri, usaha memudahkan rakyat berniaga dan mewujudkan peluang pekerjaan baharu turut perlu diberi penekanan susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI) serta internet kebendaan (IoT) yang dilihat mengehadkan ruang penggajian konvensional.
Beliau dalam pada itu turut menegaskan, setiap parti komponen PN perlu berani mengemukakan janji secara bertanggungjawab serta bersedia dinilai berdasarkan pelaksanaannya memandangkan rakyat kini menuntut tindakan nyata berbanding sekadar ucapan.-UTUSAN.
The post Dokumen tawaran baharu PN diselaras dengan BN appeared first on Utusan Malaysia.






