
Kota Kinabalu: Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia Sabah (Dongzong Sabah) merakamkan penghargaan terhadap keprihatinan dan sumbangan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dalam memperkukuh sektor pendidikan di negeri ini.
Pengerusinya, Datuk Au Kam Wah berkata sokongan berterusan Kerajaan Negeri kepada institusi pendidikan, termasuk sekolah menengah persendirian Cina, amat dihargai kerana membantu menjamin kelangsungan operasi dan pembangunan sekolah-sekolah berkenaan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pembantu Menteri Kewangan Datuk Ben Chong di pejabatnya, pada Jumaat.
Turut hadir pengerusi sembilan sekolah menengah persendirian Cina di Sabah, iaitu Sekolah Menengah Tshung Tsin Sabah (Kota Kinabalu), Sekolah Menengah Kian Kok (Kota Kinabalu), Sekolah Menengah Yu Yuan (Sandakan), Sabah Chinese High School (Tawau), Sekolah Menengah Beaufort (Beaufort), Sekolah Menengah Lahad Datu (Lahad Datu), Sekolah Menengah Papar (Papar), Pei Tsin High School (Kudat) dan Sekolah Menengah Tshung Tsin Tenom (Tenom).
Au berkata pertemuan itu turut membincangkan perkembangan dan pembangunan sekolah, selain pelbagai isu serta cabaran yang sedang dihadapi sekolah menengah persendirian Cina di Sabah.
Sementara itu, Chong berkata Kerajaan GRS mengumumkan bantuan pendidikan berjumlah RM90 juta pada 2026 kepada sekolah menengah persendirian Cina, sekolah mubaligh, institusi agama bukan Islam serta institusi pendidikan berkaitan, iaitu peruntukan terbesar pernah disalurkan dan meningkat 100 peratus berbanding RM43 juta sebelum ini.
Beliau berkata peningkatan ketara itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan kebajikan semua institusi pendidikan terus diberi perhatian.
“Kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan semua pihak dan akan terus memastikan sektor pendidikan di Sabah diperkukuh,” katanya.
Rekod menunjukkan peruntukan bantuan pendidikan Kerajaan GRS meningkat secara berperingkat daripada RM43 juta pada 2020 dan 2021 kepada RM47 juta (2022), RM54.05 juta (2023), RM56.75 juta (2024), RM70 juta (2025) dan RM90 juta pada 2026.
Bagi Zon Pantai Timur Sabah, daripada peruntukan RM9 juta yang diluluskan, sebanyak RM4.41 juta disalurkan kepada 42 institusi pendidikan termasuk sebuah sekolah menengah persendirian Cina, dua Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJK), 10 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), sekolah mubaligh, tadika dan sekolah mubaligh swasta.
Sementara itu, Penasihat Dongzong Sabah Datuk George Teo berkata Kerajaan GRS di bawah pimpinan Hajiji terus menunjukkan komitmen kukuh dalam memperkasa pembangunan modal insan menerusi sektor pendidikan.
Beliau berkata di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 bagi tempoh 2020 hingga 2025, Kerajaan Negeri melaburkan kira-kira RM1.33 bilion bagi sektor pendidikan Sabah.
“Dalam Pelan Pembangunan SMJ 2.0 (2026-2030), Hajiji turut mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh sektor pendidikan Sabah dengan menyediakan peruntukan yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata pelaburan berterusan dalam sektor pendidikan amat penting bagi memastikan generasi muda Sabah memperoleh peluang pendidikan yang lebih baik, sekali gus menyokong agenda pembangunan modal insan negeri.





