Sabah sedia kerjasama dengan Melaka perkukuh agenda konservasi

LocalEnvironment
1 Aug 2026 • 1:33 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Sabah sedia kerjasama dengan Melaka perkukuh agenda konservasi

MELAKA: Kerajaan Negeri Sabah sedia bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka untuk memperkukuh pendidikan konservasi, penyelidikan dan kesedaran awam mengenai khazanah biodiversiti Malaysia menerusi keistimewaan Monyet Belanda (Proboscis Monkey).

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Ariffin berkata hasrat itu, yang disuarakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, adalah satu pengiktirafan terhadap kekayaan biodiversiti Negeri di Bawah Bayu yang menjadi antara aset semula jadi paling bernilai di Malaysia.

Beliau berkata Monyet Belanda bukan sekadar ikon pelancongan Sabah malah merupakan spesies endemik Pulau Borneo yang mempunyai nilai konservasi tinggi serta menjadi lambang keunikan ekosistem hutan paya bakau dan hutan riparian di negeri itu.

“Sebarang cadangan melibatkan pemindahan atau penempatan spesies hidupan liar di luar habitat asalnya perlu melalui penelitian yang amat mendalam dan tidak boleh dilihat hanya dari sudut tarikan pelancongan semata-mata.

“Ia perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan bukti saintifik, aspek kebajikan haiwan, kesesuaian habitat, kesihatan veterinar, kepelbagaian genetik, pengurusan populasi serta pematuhan kepada semua peruntukan undang-undang dan piawaian konservasi di peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” menurutnya dalam kenyataan Jumaat.

Jafry berkata sekiranya semua syarat teknikal, saintifik dan perundangan dapat dipenuhi, kerjasama sedemikian berpotensi menjadi platform bagi memperkukuhkan pendidikan konservasi, memperluaskan penyelidikan saintifik serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara spesies endemik Borneo.

Beliau berkata Jabatan Hidupan Liar Sabah bersama pakar konservasi, institusi penyelidikan dan agensi berkaitan perlu memainkan peranan utama dalam membuat penilaian sekiranya cadangan itu ingin dipertimbangkan pada masa hadapan.

Pendirian Sabah, katanya adalah jelas bahawa keutamaan kerajaan negeri tertumpu pada usaha memastikan spesies itu terus berkembang dan kekal terpelihara di habitat semula jadi, dan sebarang bentuk kerjasama mesti memberi manfaat kepada agenda pemuliharaan jangka panjang serta tidak menjejaskan kelangsungan populasi hidupan liar di negeri berkenaan.

“Kerajaan Negeri Sabah sentiasa mengalu-alukan kerjasama strategik dengan negeri-negeri lain dalam bidang konservasi, penyelidikan biodiversiti dan pembangunan ekopelancongan berasaskan amalan lestari, selaras dengan komitmen negeri untuk terus menjadi peneraju pemuliharaan alam semula jadi di negara ini,” katanya.

Menurut Jafry, spesies itu turut mendiami beberapa lagi habitat semula jadi di Sabah termasuk Sungai Klias, Weston, Teluk Labuk, Segama, Trusan Sugut serta kawasan hutan bakau dan hutan riparian lain.

Beliau berkata bagaimanapun, Sungai Kinabatangan kekal sebagai habitat semula jadi terbesar, paling penting dan terkenal di dunia bagi spesies haiwan itu selain menjadi lokasi utama penyelidikan saintifik serta destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved