'Dr Ainul tak takut naik helikopter, bersemangat kerja di pedalaman'

LocalHealth & Fitness
8 Sep 2026 • 11:12 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Dr Ainul tak takut naik helikopter, bersemangat kerja di pedalaman'
Dr Ainul (belakang, tengah) sebelum tragedi yang meragut nyawanya dan empat lain di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada Selasa.
Image from: 'Dr Ainul tak takut naik helikopter, bersemangat kerja di pedalaman'
Kamaruddin

KOTA BHARU - "Dr Ainul seorang yang berani, malah dia tidak takut naik helikopter dan sentiasa bersemangat walaupun bekerja di pedalaman."

Demikian kata bapa kepada Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, iaitu Kamaruddin Salleh, 69, seorang pesara guru ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baung, Pengkalan Chepa di sini pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Helikopter Perkhidmatan Doktor Udara bawa lima penumpang terhempas - CAAM

Dr Ainul merupakan antara lima mangsa korban nahas helikopter yang dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak.

Menurut Kamaruddin, anak keempat daripada lima beradik itu sudah bercita-cita menjadi seorang doktor sejak kecil lagi.

Ujarnya, Dr Ainul tidak pernah mengeluh sepanjang dua tahun di berkhidmat di Hospital Miri dan perlu menaiki helikopter untuk ke kawasan pedalaman bagi memberikan rawatan perubatan kepada pesakit.

"Dia ada bercerita pada kami, ada doktor yang tidak berani naik helikopter kerana takut.

"Tapi dia berani, katanya demi berkhidmat kepada pesakit dan semasa kejadian tadi saya terdetik juga dalam hati, kenapa dia naik juga kalau dah tahu helikopter itu sering rosak. Tapi itulah Dr Ainul dia seorang yang bersemangat," katanya.

Terdahulu, kesemua mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di STOLport Long Lellang, pedalaman Baram, pada Selasa disahkan meninggal dunia.

Borneo Post yang memetik Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Residen Miri, Galong Luang sebagai berkata, kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter itu maut dalam nahas yang berlaku di hujung landasan kira-kira jam 3.40 petang.

Katanya, kesemua lima individu di dalam helikopter itu disahkan meninggal dunia berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurut Kamaruddin, Dr Ainul telah sudah dua tahun berkhidmat di Sarawak dan pernah berkhidmat di Hospital Tanah Merah, Kelantan selama dua tahun.

Berkenaan dengan pengkebumian anaknya itu, katanya ia belum dibincangkan lagi dan perlu ke Sarawak terlebih dahulu untuk bertemu menantunya, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, di sana serta berbincang tentang perkara tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved