
PETALING JAYA – Perkataan ringkas ‘Jerebu’ dipercayai menjadi antara status terakhir dimuat naik Penolong Pegawai Perubatan (PPP), Alexson Adit sebelum terkorban dalam nahas helikopter Flying Doctor Service (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, semalam.
Status yang dipercayai dimuat naik kira-kira pukul 10.31 pagi semalam itu memaparkan pemandangan dari udara dengan kawasan hutan di bawah kelihatan samar akibat keadaan berjerebu.
Beberapa jam selepas perkongsian berkenaan, helikopter yang dinaiki Alexson bersama tiga lagi petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan seorang juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang.
Perkongsian terakhir itu kemudian mendapat perhatian pengguna media sosial selepas seorang pengguna Threads, @callme_pat73, berkongsi semula tangkap layar status berkenaan sambil meluahkan harapan agar ia bukan hantaran terakhir Alexson.
“Status PPP Alexson Adit jam 10.31 pagi, 8 September. Moga ini bukan status kamu yang terakhir, harapan agar ada lagi status kamu bercerita tentang kehidupan kamu, tentang anak-anak dan keluarga kamu lagi.
“Sama-sama kita berdoa agar kesemua mereka ditemui selamat supaya keresahan keluarga mereka dapat diredakan dengan khabar berita yang baik,” tulisnya.
Terdahulu, media melaporkan juruterbang dan penumpang helikopter BO-105 yang dilaporkan terhempas serta terbakar sepenuhnya di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, sudah dikenal pasti.
Individu terbabit dikenal pasti sebagai Kapten Zainol, Dr Ainul, PPP Alexson Adit dan dua jururawat, Debra Moset serta Jessie Paya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Jerebu’ jadi status terakhir Alexson sebelum nahas helikopter KKM appeared first on Kosmo Online.






