
KUALA LUMPUR: Keadaan kesihatan yang kurang memuaskan menyebabkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak dapat menghadiri Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, Dr. Mahathir sudah menyiapkan teks ucapan dan berhasrat menyampaikannya sendiri pada forum berkenaan, namun tidak dapat berbuat demikian berikutan keadaan kesihatannya sejak kebelakangan ini.
“Beliau sudah bekerja keras menyiapkan ucapan ini dan sememangnya mahu menyampaikannya sendiri. Namun, malangnya, keadaan kesihatannya tidak begitu baik kebelakangan ini.
“Saya berasa amat bersyukur dan berbesar hati kerana ayahanda telah meminta saya untuk membacakan ucaptama ini bagi pihak beliau,” katanya ketika membacakan teks ucapan berkenaan hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah adik beliau, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menerusi teks ucapan itu, Dr. Mahathir turut memohon maaf kepada hadirin kerana tidak dapat hadir sendiri dan memaklumkan bahawa tahap kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya.
“Alhamdulillah, dengan izin Allah, walaupun kesihatan saya tidak begitu memuaskan kebelakangan ini, saya masih dapat berkongsi sedikit pandangan bersama semua yang hadir.
“Namun disebabkan belum pulih sepenuhnya, saya memohon maaf dan meminta anak saya membacakan ucapan ini bagi pihak saya, sungguhpun saya amat berharap dapat menyampaikannya sendiri,” katanya.
Dr. Mahathir yang dilantik sebagai Penasihat SG4 dijadual menyampaikan ucapan khas pada forum berkenaan. – UTUSAN
The post Dr. Mahathir kurang sihat, Mokhzani bacakan ucapan di forum SG4 appeared first on Utusan Malaysia.






