Dr Zulkifli jawab, kenapa tadah doa terbalik di majlis Syed Saddiq-Bella

10 Oct 2026 • 10:49 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Dr Zulkifli jawab, kenapa tadah doa terbalik di majlis Syed Saddiq-Bella

PETALING JAYA – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, tampil menjelaskan tindakan menterbalikkan tangan ketika membaca doa dalam majlis pernikahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah, hari ini.

Beliau berkata, tindakan itu dilakukan ketika membaca doa memohon perlindungan daripada bala dan penyakit.

Jelas beliau, perbuatan tersebut mempunyai sandaran daripada sunah Rasulullah, khususnya ketika baginda memohon hujan.

“Daripada Anas bin Malik beliau berkata, maksudnya: “Sesungguhnya Nabi memohon hujan, lalu baginda mengisyaratkan ke arah langit dengan belakang kedua-dua tapak tangannya.” (Hadis riwayat Muslim, no. 895).

“Hadis ini menjadi sandaran ulama dalam membincangkan keadaan tertentu ketika berdoa dengan membalikkan tangan, khususnya bagi memohon agar kesusahan diangkat dan keadaan yang buruk diubah dengan rahmat Allah SWT,” jelasnya.

Sementara itu kata beliau, Imam al-Nawawi menjelaskan dalam Syarh Sahih Muslim, maksudnya: “Sebahagian ulama dalam kalangan kami dan selain mereka berpendapat bahawa sunat bagi doa untuk mengangkat bala seperti kemarau dan seumpamanya, seseorang mengangkat kedua-dua tangannya dengan bahagian belakang tapak tangannya menghadap ke langit,” tambahnya.

Bagaimanapun beliau berkata, perbahasan lebih lanjut boleh dirujuk menerusi artikel yang telah ditulis menerusi aplikasi al-Inarah.

“Boleh rujuk pautan tersebut di al-inarah.com/artic, atau jika ada persoalan berkenaan agama boleh sahaja merujuk 11,000 soal jawab yang telah kami jawab.

“Atau, ada ruangan khusus ‘Q&A’ di aplikasi ini untuk bertanya soalan secara langsung,” ujarnya.

Terdahulu, amalan menterbalikkan tangan ketika membaca doa sudah pernah dijelaskan oleh Dr Zulkifli, sebelum ini.

Namun, tindakan beliau dan beberapa individu lain yang dilihat membalikkan tangan ketika doa dibacakan di majlis pernikahan Bella Astillah dan Syed Saddiq, hari ini, kembali menarik perhatian orang ramai. – KOSMO! ONLINE

The post Dr Zulkifli jawab, kenapa tadah doa terbalik di majlis Syed Saddiq-Bella appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved