amree18/08/2026 - 17:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos — Johor Plantations Group Berhad (JPG) mencatat peningkatan hasil sebanyak 16.6% kepada RM415.8 juta pada suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY2026), didorong harga komoditi yang lebih kukuh dan peningkatan jumlah buah tandan segar (FFB) diproses.
Prestasi itu mencerminkan momentum pertumbuhan yang semakin baik bagi kumpulan perladangan berkenaan apabila pengeluaran FFB dalaman meningkat 5.2% secara suku ke suku (QoQ), manakala penerimaan FFB daripada sumber luaran melonjak 28.4%.
Peningkatan bekalan tersebut membolehkan jumlah keseluruhan FFB yang diproses JPG meningkat 13%, susulan pengoptimuman kapasiti kilang yang tersedia selepas operasi pada suku pertama yang lebih lembut mengikut faktor bermusim.
"Dalam tempoh sama, JPG turut mendapat manfaat daripada harga komoditi yang lebih baik apabila harga jualan purata minyak sawit mentah (MSM) meningkat 9% QoQ, manakala harga isirung sawit (PK) naik 10.1%," jelas kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY26), JPG merekodkan hasil RM772.5 juta, meningkat 4.6% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) berjumlah RM101.6 juta.
Seiring prestasi tersebut, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 1.10 sen sesaham bagi FY26, sekali gus meneruskan komitmen kumpulan untuk memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham.

JPG turut memperluas rangkaian sumber tanaman luaran yang diperakui menerusi 'Smallholder Inclusion Programme (SIP)' dengan kini merangkumi 390 pekebun kecil yang mendapat pensijilan RSPO.
Program berkenaan bukan sahaja membantu memastikan ketersediaan buah sawit, malah memperkukuh fleksibiliti sumber bekalan dan penggunaan kapasiti kilang, selain meningkatkan penyertaan pekebun kecil bebas dalam rantaian bekalan minyak sawit mampan.
Pada peringkat huluan, JPG terus memperkukuh asas operasi menerusi program penanaman semula yang dipercepatkan, penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi serta penambahbaikan berterusan di ladang bagi meningkatkan daya tahan tanaman dan produktiviti jangka panjang.
Pengarah Urusan JPG, Mohd Faris Adli Shukery berkata, walaupun pengeluaran tanaman dipengaruhi faktor biologi dan bermusim, kumpulan terus memperkukuh asas perniagaan menerusi pengurusan ladang berdisiplin, penanaman semula, peluasan ekosistem tanaman luaran dan pembangunan Integrated Sustainable Palm Oil Complex (iSPOC).
Fasa pertama iSPOC kini memasuki peringkat pentauliahan pada 3Q2026 dan kekal mengikut jadual untuk memulakan operasi komersial menjelang akhir 2026, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam pengembangan segmen hiliran serta strategi pertumbuhan bersepadu JPG. - DagangNews.com






