Duopharma catat untung bersih RM60.59 juta pada 1HFY26, isytihar dividen 1.5 sen sesaham

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 1:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Duopharma catat untung bersih RM60.59 juta pada 1HFY26, isytihar dividen 1.5 sen sesaham Image from: Duopharma catat untung bersih RM60.59 juta pada 1HFY26, isytihar dividen 1.5 sen sesaham hamden18/08/2026 - 13:21 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Duopharma Biotech Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM60.59 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1HFY26), meningkat daripada RM45.84 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan keuntungan itu didorong campuran produk yang lebih menguntungkan, pengukuhan ringgit yang membantu mengurangkan kos input serta kecekapan operasi yang berterusan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan farmaseutikal itu berkata hasil 1HFY26 bagaimanapun susut sedikit kepada RM482.24 juta berbanding RM484.52 juta setahun sebelumnya.

 

Penurunan hasil berlaku berikutan normalisasi jualan insulin kepada sektor awam selepas lonjakan sekali sahaja yang direkodkan pada 1HFY25.

 

Bagi 2QFY26, keuntungan bersih meningkat kepada RM29.87 juta daripada RM20.2 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil suku tahunan turut meningkat kepada RM234.36 juta berbanding RM221.78 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Sejajar prestasi kewangan tersebut, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.5 sen sesaham, dengan tarikh kelayakan pada 4 September 2026 dan tarikh pembayaran pada 21 September 2026.

 

Menurut Duopharma, prestasi kewangan yang berdaya tahan bagi 1HFY26, disokong buku tempahan yang sihat, aliran hasil yang pelbagai serta kedudukan kukuh dalam sektor penjagaan kesihatan awam, menyediakan asas yang kukuh bagi baki tahun kewangan.

 

Kumpulan bagaimanapun kekal berhati-hati terhadap perkembangan geopolitik yang berubah-ubah dan ketidaktentuan perdagangan global yang berpotensi menyebabkan turun naik harga tenaga, kadar pertukaran asing serta kos Bahan Farmaseutikal Aktif (API).

 

“Disokong asas operasi yang berdaya tahan serta pelaksanaan berterusan keutamaan strategik, kumpulan kekal optimistik secara berhati-hati untuk mencatat prestasi yang memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, tanpa mengambil kira sebarang keadaan tidak dijangka,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved