KOTA KINABALU - Seorang kanak-kanak tidak sedarkan diri manakala abangnya selamat selepas dipercayai nyaris lemas ketika mandi di sungai dalam kejadian di Kampung Dombung, Jalan Rampaian, Manggatal, di sini, pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, Hamizan Razman, 10, diselamatkan pasukan bomba sebelum dibawa ke hospital manakala abangnya, Hazim, 11, diselamatkan oleh rakannya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.51 petang.
Katanya, seramai enam anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh tiga kilometer dari BBP Lintas.
"Menurut laporan, terdapat mangsa lemas ketika mandi sungai melibatkan dua kanak-kanak. Seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh rakannya manakala seorang lagi diselamatkan oleh pasukan bomba," katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun katanya, kanak-kanak yang diselamatkan oleh pasukannya itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Pasukan bomba bertindak melakukan rawatan awal dengan kaedah bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sehingga ambulan tiba dilokasi.
"Mangsa yang tidak sedarkan diri segera diserahkan kepada ambulan untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan selanjutnya," katanya.
Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.17 petang.






