
SHAH ALAM – Dua beranak antara empat individu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bagi tuntutan insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.
Chong Foo Yon, 75 dan anak lelakinya, Kok Woo, 52, selain K. Kumaaravelu, 39 serta N. S. Sivakumar, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan termasuk dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan, Foo Yon yang merupakan pemilik syarikat pembungkusan plastik didakwa mengemukakan borang palsu Pengesahan Pekerja Daya Kerjaya 2.0 bagi tujuan tuntutan insentif program berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat miliknya di Taman Bukit Serdang pada 2 November 2024.
Kok Woo pula didakwa bersubahat dengan bapanya bagi tujuan sama di lokasi dan tarikh yang sama.
Sementara itu, Kumaaravelu yang juga pengarah syarikat latihan dan khidmat nasihat didakwa atas empat pertuduhan mengemukakan borang palsu bagi tuntutan insentif sama di syarikat berkenaan di Telok Panglima Garang pada 14, 15 dan 24 Mac 2024.
Dia turut didakwa satu pertuduhan bersama Sivakumar yang juga pengarah sebuah syarikat kerja-kerja pendawaian dan telekomunikasi, atas kesalahan sama di Pandamaran, Klang pada 28 April 2024.
Kesemua perbuatan tertuduh itu didakwa dilakukan dengan memperdayakan dua Pegawai Perkeso berbeza.
Bagi kesalahan mengemukakan dokumen palsu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Pertuduhan bersubahat pula dibuat mengikut Seksyen 28(1)(C) akta sama dibaca bersama Seksyen 18 akta berkenaan.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi manakala dua beranak itu diwakili Peguam L. Y. Yong.
Peguam P. Vishnuvarman pula mewakili Kumaaravelu dan Sivakumar.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 setiap seorang terhadap Foo Yon, Kok Woo dan Sivakumar, manakala Kumaaravelu dikenakan jaminan RM20,000.
Kesemua tertuduh turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes pada 29 Oktober depan. – KOSMO! ONLINE
The post Dua beranak, dua pengarah didakwa palsukan tuntutan insentif Daya Kerjaya appeared first on Kosmo Digital.






