'Dua bulan, dua emas'

7 Oct 2026 • 5:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Dua bulan, dua emas'
Penantian selama 16 tahun Azizulhasni untuk bergelar juara Sukan Komanwel berakhir apabila merangkul pingat emas pertama dalam kariernya menerusi acara keirin di Glasgow Julai lalu. Foto : MSN.
Image from: 'Dua bulan, dua emas'
Azizulhasni mengungguli acara keirin untuk meraih emas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 baru-baru ini. Foto : FB Azizulhasni Awang.

KEJAYAAN Datuk Mohd Azizulhasni Awang meraih emas di Sukan Komanwel Glasgow Julai lalu dan Sukan Asia Aichi-Nagoya dalam tempoh kira-kira dua bulan mencipta satu pencapaian luar biasa buat jaguh berbasikal trek negara itu.

Lebih istimewa, pelumba berusia 38 tahun itu mendapati hanya empat atlet Malaysia sebelum ini pernah meraih emas di kedua-dua temasya berkenaan dalam tahun yang sama.

Mereka ialah Datuk Ng Boon Bee, Datuk Punch Gunalan, gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan legenda skuasy negara, Datuk Nicol David.

Azizulhasni berkata, pencapaian itu mempunyai nilai tersendiri kerana bukan mudah untuk seseorang atlet mengekalkan prestasi di tahap tertinggi apabila dua temasya besar berlangsung dalam jarak masa yang begitu dekat.

“Saya melihat pencapaian ini sebagai sesuatu yang luar biasa. Bukan mudah untuk mengekalkan prestasi pada tahap tertinggi bagi dua kejohanan besar yang jaraknya hanya kira-kira 60 hari," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

**media[3670600]**

Menurutnya, pengurusan periodisasi latihan menjadi antara cabaran terbesar selepas kejayaan di Glasgow bagi memastikan prestasi dapat dikekalkan sehingga Sukan Asia.

“Antara perkara paling mencabar ialah bagaimana untuk mengekalkan tahap prestasi selepas kejayaan di Glasgow dan pada masa sama memastikan badan bersedia untuk kembali ke tahap kemuncak di Sukan Asia,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian itu bagaimanapun tidak akan terhasil tanpa perancangan rapi, disiplin serta kerja keras sepanjang tempoh persiapan.

“Saya sentiasa bersikap optimis dan terus bekerja keras untuk memastikan semua matlamat yang ditetapkan dapat dicapai demi merealisasikan emas untuk negara,” katanya.

Kejayaan tersebut turut memperlihatkan kemampuan Azizulhasni menentang faktor usia apabila masih mampu bersaing dan menewaskan pelumba yang jauh lebih muda di pentas tertinggi.

Bagi pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, pencapaian berkenaan bukan sekadar menambah koleksi pingat, sebaliknya menjadi bukti bahawa perancangan, disiplin dan kepercayaan terhadap kemampuan diri mampu menghasilkan sesuatu yang luar biasa.

Azizulhasni akan meneruskan misi di Shanghai bagi menghadapi Kejohanan Dunia selepas melalui musim yang sekali lagi membuktikan dirinya masih mampu berada dalam kelompok terbaik dunia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved