
KUALA LUMPUR – Seramai 282 individu termasuk 59 warga asing ditahan menerusi 201 serbuan dalam Op Dadu Khas bagi membanteras kegiatan perjudian dalam talian dan loteri awam tanpa lesen di seluruh negara.
Operasi selama dua hari bermula Sabtu lalu hingga semalam itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman secara serentak dengan menyasarkan premis-premis perniagaan yang dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan.
Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, daripada keseluruhan 201 serbuan, sebanyak 108 serbuan membabitkan kegiatan perjudian dalam talian manakala 93 lagi berkaitan loteri awam tanpa lesen.
“Dalam operasi ini, seramai 282 individu berusia lingkungan 20 hingga 65 tahun ditangkap dengan pecahan 229 lelaki dan 53 perempuan.
“Mereka terdiri daripada 223 warga tempatan serta 59 warga asing, namun maklumat kewarganegaraan itu berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan dan tertakluk kepada pengesahan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis turut merampas pelbagai peralatan dan peranti elektronik yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian haram termasuk tablet, telefon bimbit dan pencetak mudah alih.
Wang tunai berjumlah RM32,149 turut dirampas dalam operasi berkenaan.
Katanya, kesemua individu yang ditahan direman antara satu hingga empat hari bagi membantu siasatan mengikut beberapa peruntukan Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 serta Akta Imigresen 1959/63.
Antara peruntukan digunakan ialah Seksyen 4A(a), Seksyen 4B(a) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 selain Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
M. Kumar berkata, PDRM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu, kumpulan atau sindiket yang terbabit dalam semua bentuk aktiviti perjudian tanpa lesen.
“Tindakan penguatkuasaan akan dipergiat secara tegas dan berterusan menerusi kerjasama strategik bersama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan termasuk memutuskan bekalan tenaga elektrik di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
“PDRM turut menyeru orang ramai agar konsisten menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa memerangi jenayah ini daripada terus berleluasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dua hari gempur judi haram, 282 individu dicekup appeared first on Kosmo Online.






