
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki berusia 24 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini atas tuduhan melakukan kekejaman terhadap seekor anjing bernama Rocky bulan lalu.
Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mujib Saroji.
“Saya faham pertuduhan tersebut. Saya mengaku tidak bersalah,” katanya, menurut laporan media.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Shah Idham didakwa dengan secara tidak munasabah menjerut seekor anjing jantan menggunakan tali loop sehingga mengakibatkan kesakitan terhadap haiwan berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara jam 11 malam hingga 11.30 malam di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah 20, Taman Telok Gedung Indah, di sini pada 29 Julai lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (Majlis Perbandaran Klang) 2007, yang memperuntukkan denda maksimum RM2,000 atau penjara hingga setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Shah Idham diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM6,000.
Sementara di mahkamah sama, pemilik Rocky, S. Roghini Devi, 42, didakwa dengan secara tidak munasabah menarik anjing sama sehingga menyebabkan kesakitan ke atas haiwan itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 29 Julai antara 11 hingga 11.30 malam di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah 20, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang.
Roghini diwakili peguam Jeremy Vinesh Anthony dan dikenakan ikat jamin juga RM6,000.
Di Mahkamah Majistret pula, Roghini didakwa memelihara Rocky yang berusia lebih tiga bulan tanpa lesen sah yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang.
Kesalahan itu, mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing majlis berkenaan, membawa hukuman denda maksimum RM2,000, penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Roghini yang berada di dalam kandang tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A. Karthiyayini.
Timbalan Pendakwa Raya, Salman Alfarisi Nawawi, memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Jeremy Vinesh Anthony yang mewakili Roghini membantah permohonan itu, dengan berhujah bahawa jumlah ikat jamin yang dicadangkan adalah bersamaan dengan denda maksimum yang diperuntukkan di bawah undang-undang dan memohon dikurangkan kepada RM500 dengan alasan Roghini merupakan ibu kepada empat orang anak yang masih kecil.
Karthiyayini menetapkan ikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan tidak mengenakan syarat tambahan. - 20 Ogos, 2026
The post Dua individu termasuk pemilik Rocky didakwa lakukan kekejaman terhadap haiwan appeared first on Scoop.






