Kes Rocky: Peguam Shah Idham akan saman sivil beberapa individu, pempengaruh

20 Aug 2026 • 2:51 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Peguam kepada penghantar barang, Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, mencabar pihak yang sebelum ini melabel anak guamnya sebagai “pembunuh” supaya tampil mengemukakan permohonan maaf.

Image from: Kes Rocky: Peguam Shah Idham akan saman sivil beberapa individu, pempengaruh

Memetik laporan Berita Harian, Shah Idham didakwa mencekik seekor anjing bernama Rocky menggunakan tali berbentuk gelung sehingga menyebabkan haiwan itu mengalami kesakitan, namun peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali, menegaskan pertuduhan terhadap anak guamnya tidak menyebut bahawa dia membunuh anjing berkenaan.

Rafique berkata pertuduhan yang dibacakan di mahkamah hanya menyatakan Shah Idham didakwa mencekik Rocky, seekor anjing jantan, menggunakan tali yang dibuat dalam bentuk gelung sehingga menyebabkan kesakitan pada bulan lalu.

“Tolong beritahu saya, di mana perkataan ‘membunuh’, ‘menyeksa’ atau ‘memukul sehingga menyebabkan kematian’ dinyatakan dalam pertuduhan?
“Jika pertuduhan itu tidak mengandungi perkataan ‘membunuh’, maka kepada mereka yang selama ini melabel Shah Idham sebagai seorang yang kejam dan pembunuh, ini peluang terbuka untuk anda tampil dan memohon maaf kepadanya,” katanya kepada pemberita di lobi kompleks mahkamah.

Rafique berkata demikian selepas menemani Shah Idham meninggalkan mahkamah, susulan kakaknya membayar wang ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan Shah Idham tidak akan memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Dalam pada itu, Rafique menjelaskan anak guamnya merupakan seorang sukarelawan dan bukan kakitangan Majlis Bandaraya Diraja Klang mahupun mana-mana jabatan di bawah pihak berkuasa tempatan berkenaan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan berkaitan kes tersebut, termasuk dakwaan bahawa Rocky merupakan anjing baka pit bull.

Menurutnya, baka sebenar Rocky masih belum dikenal pasti.

Pada masa sama, Rafique mendedahkan pihaknya sedang mengambil langkah untuk memulakan saman sivil terhadap beberapa individu, termasuk pempengaruh media sosial, yang didakwa membuat pelbagai tuduhan terhadap anak guamnya.

Katanya, tuduhan yang dilemparkan dianggap keterlaluan sehingga menimbulkan ancaman terhadap keselamatan Shah Idham.

Image from: Kes Rocky: Peguam Shah Idham akan saman sivil beberapa individu, pempengaruh

“Apabila mereka bercakap dan membuat tuduhan, ia tidak memberi kesan kepada mereka tetapi memberi kesan kepada Shah Idham, keluarganya dan penduduk di kawasan kejiranan.
“Ada antara mereka yang terlibat kini berada di Parlimen, ada juga yang sudah tidak lagi berada di sana,” katanya.

Rafique turut menyuarakan kekesalan terhadap beberapa kenyataan berkaitan insiden berkenaan yang menurutnya seolah-olah cuba mengaitkan kejadian dengan kaum tertentu.

Beliau pada masa sama menggesa masyarakat mengambil perhatian terhadap nasihat Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, supaya tidak mengeruhkan keadaan atau mencetuskan ketegangan antara kaum.

“Ini satu kejadian di mana seekor anjing telah mati, dan ia sungguh malang,” tambahnya lagi.

Sementara itu, pemilik Rocky, S Roghini Devi, 42, yang turut didakwa atas pertuduhan menarik anjingnya sehingga menyebabkan kesakitan dalam kejadian sama, meninggalkan mahkamah selepas urusan ikat jamin selesai.

Peguam Roghini, Jeremy Vinesh Anthony, memaklumkan beliau bersama anak guamnya tidak akan memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Terdahulu, Shah Idham dan Roghini masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan berkaitan kejadian yang didakwa berlaku antara jam 11 malam hingga 11.30 malam pada 29 Julai di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah 20, Taman Telok Gedung Indah, di sini.

Image from: Kes Rocky: Peguam Shah Idham akan saman sivil beberapa individu, pempengaruh

Pertuduhan terhadap kedua-duanya dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama. Pertuduhan itu dibacakan secara berasingan kepada mereka yang hadir sebagai orang kena saman.

Jika disabitkan, mereka berdepan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mujib Saroji, membenarkan Shah Idham dan Roghini masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin.

Dalam prosiding berasingan, Roghini turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki Rocky tanpa lesen sah yang dikeluarkan pihak majlis.

Majistret A Karthiyayini kemudian membenarkan Roghini diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Rocky dilaporkan mati ketika operasi penguatkuasaan berlangsung di kawasan kejiranan berkenaan.

Sebelum ini, Shah Idham menafikan dakwaan mendera atau membunuh Rocky. Beliau menjelaskan bahawa kehadirannya dalam operasi itu adalah sebagai wakil komuniti selepas menerima jemputan bertulis daripada Rukun Tetangga Jalan Sama Gagah untuk membantu pegawai majlis.

Roghini pula mendakwa sekembalinya ke rumah pada hari kejadian, dia melihat Rocky dalam keadaan terikat dengan jerat pada leher. Katanya, beberapa rayuan supaya anjing itu dilepaskan tidak diendahkan.

Artikel lain: Pemilik anjing didakwa tarik, penghantar barang pula dituduh jerut Rocky

Pada 2 Ogos lalu, Pasukan Kebajikan Haiwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) membuat laporan polis serta mengambil keterangan selepas menerima bangkai Rocky.

Tindakan itu susulan penularan sebuah video yang memaparkan beberapa individu mengikat dan menarik anjing berkenaan menggunakan tali pada leher, manakala seorang wanita dilihat merayu supaya Rocky dilepaskan.

Sumber: Berita Harian (Dawn Chan)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved