Pemuda, Wanita Mengaku Tak Bersalah Aniaya Rocky 

20 Aug 2026 • 1:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pemuda, Wanita Mengaku Tak Bersalah Aniaya Rocky 

KLANG - Seorang pemuda berusia 24 tahun dan seorang wanita berusia 42 tahun hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang atas pertuduhan melakukan penganiayaan terhadap seekor anjing dikenali sebagai Rocky ketika operasi menangkap anjing liar, bulan lalu.

Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom dan S. Roghini Devi masing-masing didakwa secara berasingan kerana disyaki mencekik Rocky menggunakan tali yang dibuat gelung secara tidak munasabah sehingga menyebabkan anjing jantan itu mengalami kesakitan.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut antara jam 11 malam hingga 11.30 malam di hadapan sebuah rumah di Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang, 29 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Pendakwaan dikendalikan Sharif Sabran daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), manakala Shah Idham diwakili peguam Rafique Rashid Ali.

Roghini pula diwakili Choo Dee Wei dan Jeremy Vignesh Anthony.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM6,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan mereka melaporkan diri ke DVS setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 8 Oktober depan untuk pengurusan kes.

Sharif memberitahu mahkamah, pihak pendakwaan akan memohon supaya kedua-dua kes dibicarakan secara bersama memandangkan ia melibatkan fakta yang sama.

Terdahulu, Roghini dan Shah Idham tiba di mahkamah secara berasingan, dengan Roghini tiba pada jam 8.38 pagi, diikuti Shah Idham enam minit kemudian.

Kawalan keselamatan di sekitar mahkamah turut diperketatkan dengan kehadiran kira-kira 50 anggota dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Bagaimanapun, tiada sebarang perhimpunan atau bantahan dikesan berlaku di kawasan mahkamah.

Kes kematian Rocky mendapat perhatian meluas selepas satu video berkaitan kejadian di Taman Telok Gedung Indah pada 29 Julai lalu tular di media sosial.

Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, Roghini turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mendapatkan lesen sah bagi anjingnya, Rocky.

Dia didakwa memelihara Rocky, yang berusia lebih tiga bulan, tanpa lesen sah oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000, penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Majistret A. Karthiyayini menetapkan wang jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin tanpa sebarang syarat tambahan.

Mahkamah menetapkan 8 Oktober depan untuk sebutan semula kes. - Getaran, 20 Ogos 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved