
KOTA TINGGI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat) bagi mengesan empat remaja lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, di sini pagi tadi.
Pemangku Pengarah Maritim Zon Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 7.35 pagi.
Katanya, sektor pencarian kini meliputi kawasan seluas kira-kira 1.0 batu nautika persegi dari lokasi kejadian dengan penglibatan pelbagai agensi keselamatan serta komuniti setempat.
“Operasi ini melibatkan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta komuniti nelayan setempat.
“Bagi memperkukuh penyelarasan operasi, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut dibuka di lokasi kejadian sebagai pusat koordinasi semua aset dan agensi yang terlibat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Najib, Maritim Malaysia akan menggerakkan semua aset yang bersesuaian sehingga kesemua mangsa berjaya dikesan, di samping menilai perkembangan operasi berdasarkan keadaan cuaca dan laut dari semasa ke semasa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti rekreasi di pantai atau laut, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu dan ombak bergelora,” katanya.
Terdahulu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Muhammad Adib Tarmuzi dilaporkan berkata, empat remaja dikhuatiri lemas selepas mengunjungi kawasan pantai di Tanjung Lompat, di sini bersama beberapa rakannya yang lain, pagi tadi.
“Maklumat awal yang diterima daripada orang awam mendapati seramai enam mangsa daripada sekumpulan remaja berkenaan sedang mandi ketika kejadian sebelum keenam-enam mereka dikhuatiri lemas.
“Dua daripada mangsa berjaya diselamatkan orang awam sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian. Manakala usaha mencari empat mangsa lain sedang dijalankan,” katanya.-UTUSAN
The post Maritim Malaysia gerakkan aset laksana operasi mencari dan menyelamat empat mangsa lemas appeared first on Utusan Malaysia.






