liza03/08/2026 - 09:11 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Ogos – Pelabuhan Tawau kini memiliki dua kren dermaga baharu bernilai RM70 juta yang akan melonjakkan kapasiti pengendalian kargo, mempercepatkan pergerakan kapal serta mengukuhkan peranannya sebagai pintu masuk perdagangan maritim utama di pantai timur Sabah.
Langkah yang dilaksanakan oleh Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) itu bukan sekadar menambah aset pelabuhan, malah menjadi sebahagian daripada strategi memodenkan infrastruktur logistik negeri bagi menampung pertumbuhan perdagangan dan keperluan sektor perkapalan yang semakin meningkat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kedua-dua kren baharu itu akan meningkatkan produktiviti, kebolehpercayaan operasi serta kecekapan keseluruhan pengendalian kargo apabila mula digunakan.
Menurut beliau, penggunaan peralatan moden itu membolehkan proses memunggah dan memuatkan kargo diselesaikan dalam tempoh lebih singkat serta mengurangkan masa kapal menunggu sebelum meneruskan pelayaran.
“Ini juga membolehkan Pelabuhan Tawau menerima kapal yang lebih besar dan mengendalikan jumlah dagangan yang semakin meningkat.
"Pelabuhan yang cekap amat penting dalam menyokong pertumbuhan sektor ekonomi, khususnya industri berorientasikan eksport yang menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi Sabah," katanya ketika berucap pada majlis pemerolehan kren tersebut.

Perkukuh Hubungan Perdagangan Domestik Dan Serantau
Hajiji berkata, pemilikan dua kren itu akan mengukuhkan lagi kedudukan Pelabuhan Tawau sebagai pintu masuk perdagangan maritim penting di pantai timur Sabah, selain meningkatkan hubungan perdagangan domestik dan serantau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SPSB, Suria Capital Holdings Bhd serta semua pihak yang terlibat atas komitmen berterusan dalam memperkukuh infrastruktur maritim negeri bagi menyokong pembangunan ekonomi jangka panjang.
Sementara itu, Pengerusi Suria Capital Holdings Bhd, Datuk Seri Abd Rahman Dahlan berkata, pelaburan RM70 juta itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat untuk membangunkan infrastruktur strategik yang mampu memenuhi keperluan perdagangan masa hadapan.
Menurut beliau, Pelabuhan Tawau memainkan peranan penting dalam menyokong perdagangan, pembangunan industri serta hubungan serantau di pantai timur Sabah, justeru pelabuhan itu perlu dilengkapi dengan infrastruktur dan peralatan moden bagi memenuhi peningkatan permintaan dagangan pada masa hadapan.
Beliau berkata, pelaburan tersebut juga dijangka menyumbang kepada pembangunan ekonomi Tawau dan kawasan sekitarnya melalui sistem logistik yang lebih cekap dan berdaya saing.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Bhd dan SPSB, Datuk Ahmad Rizal Dahli berkata, pemerolehan dua kren baharu itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memodenkan dan memperkukuh keupayaan Pelabuhan Tawau.
Beliau berkata, kemudahan tersebut akan meningkatkan kecekapan pengendalian kargo, menambah baik perkhidmatan kepada pengguna pelabuhan serta menyokong keperluan perdagangan dan logistik Sabah yang terus berkembang. - DagangNews.com






