
TAWAU: Pemerolehan dua kren dermaga baharu bernilai RM70 juta untuk Pelabuhan Tawau merupakan satu langkah strategik bagi memperkukuh infrastruktur pelabuhan negeri dan menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah dalam jangka panjang.
Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor berkata pelaburan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri menerusi Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) bagi memodenkan infrastruktur kritikal untuk meningkatkan kecekapan serta daya saing pelabuhan-pelabuhan di Sabah khususnya di Pantai Timur.
“Apabila beroperasi kelak, kren-kren ini dijangka meningkatkan produktiviti, kebolehpercayaan operasi serta kecekapan keseluruhan pengendalian kargo di Pelabuhan Tawau.
“Operasinya juga akan mempercepatkan tempoh pusingan kapal, mengurangkan masa menunggu serta memperkukuh keupayaan pelabuhan untuk mengendalikan kapal yang lebih besar dan jumlah kargo yang semakin meningkat,” katanya pada majlis pelancaran, di sini, pada Ahad. Hajiji berkata sistem pelabuhan yang cekap dan berdaya harap amat penting dalam menyokong pertumbuhan sektor-sektor utama khususnya industri berorientasikan eksport yang menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negeri.
Beliau yakin penaiktarafan Pelabuhan Tawau akan terus memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk maritim utama di Pantai Timur Sabah di samping meningkatkan kesalinghubungan dengan pasaran domestik dan serantau.
Beliau turut memuji Sabah Ports Sdn Bhd, Suria Capital Holdings Berhad serta semua pihak yang terlibat atas komitmen berterusan mereka dalam mempertingkatkan infrastruktur maritim negeri demi menyokong agenda pembangunan Sabah.
Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad Datuk Abd Rahman Dahlan berkata pelaburan tersebut mencerminkan komitmen jangka panjang Kumpulan Suria Capital terhadap pembangunan infrastruktur strategik.
Katanya, Pelabuhan Tawau memainkan peranan penting dalam menyokong perdagangan, industri serta hubungan serantau di Pantai Timur Sabah.
“Pelaburan RM70 juta ini mencerminkan komitmen kami untuk melengkapkan pelabuhan dengan infrastruktur dan peralatan yang diperlukan bagi memenuhi permintaan perdagangan pada masa hadapan sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi Tawau dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital Holdings Berhad dan SPSB Datuk Ahmad Rizal Dahli berkata pemerolehan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan SPSB untuk memodenkan dan memperkukuh Pelabuhan Tawau.
Menurutnya, kren-kren baharu itu merupakan satu lagi kemajuan penting dalam pembangunan Pelabuhan Tawau kerana bakal meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan aktiviti pengendalian kargo, mempertingkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna pelabuhan serta menyokong keperluan perdagangan dan logistik Sabah yang terus berkembang apabila beroperasi kelak.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah Datuk Donald Mojuntin.






