Dua kumpulan aktif pecah kereta lumpuh

9 Sep 2026 • 6:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua kumpulan aktif pecah kereta lumpuh
Ab Rahaman menunjukkan barang-barang yang dirampas susulan penahanan suspek.
Image from: Dua kumpulan aktif pecah kereta lumpuh
Ab Rahaman menunjukkan gambar suspek dipercayai terlibat kes pecah cermin dan melarikan barang dalam kereta.

JOHOR BAHRU - Dua kumpulan yang aktif memecah cermin dan melarikan barang dalam kereta sejak Ogos lepas dilumpuhkan polis Johor menerusi dua serbuan pada Isnin serta Selasa lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kedua-dua kumpulan itu menyasarkan kereta yang diletakkan di kawasan parkir terbuka dan tepi jalan yang sunyi.

Menurutnya, barangan yang dicuri digunakan untuk tujuan peribadi dan dijual bagi mendapatkan wang.

“Serbuan pertama di Masai dan Majidee berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 36 tahun serta merampas 20 jenis barang seperti telefon bimbit, ipad, pemutar skru serta spanar.

“Mereka disyaki terlibat dalam tujuh kes pecah kereta di tiga pusat peranginan di Kota Tinggi, Ahad lalu.

“Empat daripada kereta yang dipecahkan adalah milik warga Singapura manakala tiga lagi kenderaan orang tempatan,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Rabu.

**media[3641793]**

Beliau menjelaskan, ketiga-tiga suspek yang positif dadah turut memiliki rekod jenayah lampau.

Dalam perkembangan sama, Ab Rahaman berkata, kumpulan kedua yang dianggotai lima suspek termasuk dua lelaki dan dua wanita Indonesia berusia 26 hingga 60 tahun ditangkap di Kulai serta Muar.

“Polis turut merampas 54 barang yang disyaki hasil curi seperti kad bank, wang tunai lebih RM10,000 dan cincin emas. Kumpulan ini juga disyaki menggunakan palam pencucuh bagi memecahkan cermin kereta.

“Semua suspek direman sehingga Jumaat dan Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ab Rahaman berkata, susulan penahanan tersebut, 17 kes pecah kereta di Johor berjaya diselesaikan.

“Usaha memburu beberapa lagi suspek dipergiat,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved