Dua lelaki dijel 14 hari dan didenda RM8,000 buat sijil cuti sakit palsu

12 Aug 2026 • 2:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua lelaki dijel 14 hari dan didenda RM8,000 buat sijil cuti sakit palsu
Muhammad Asyraf (dua dari kiri) dan Mohd Shukrie masing-masing dipenjara 14 hari dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan selepas mengaku bersalah atas tuduhan membuat dokumen palsu iaitu sijil cuti sakit antara Mac dan Julai lalu.

KUANTAN – Perbuatan dua lelaki membuat sijil cuti sakit palsu membawa padah apabila masing-masing dihukum penjara 14 hari dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan di sini pada Rabu.

Hukuman itu perintah Majistret Ellyna Othman selepas Mohd Shukrie Zainuddin, 28, dan Muhammad Asyraf Zunaidy, 31, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Kedua- kedua tertuduh diarahkan menjalani hukuman penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Shukrie dan Muhammad Asyraf mengaku secara tidak jujur membuat 40 dokumen palsu berupa sijil cuti sakit sebuah klinik dengan menggunakan nama dan tandatangan seorang doktor dengan niat menipu.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kilang di Jalan Bypass Gebeng, di sini, antara 28 Mac hingga 13 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya B Deevagaran Naidu pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh

Bagaimanapun, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili Mohd Shukrie dan Muhammad Asyraf memohon agar hukuman denda dikenakan terhadap mereka.

"Kedua-dua tertuduh sudah insaf dengan kesalahan dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi," ujarnya dalam rayuan tersebut.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved