
PENAMPANG: Polis menahan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kejadian curi kabel berhampiran Kampung Sugud awal pagi Khamis.
Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang ASP Arisanti Aziz berkata kedua-dua suspek berusia 20 dan 37 tahun itu ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.
“Sepasukan anggota kereta peronda (MPV) daripada Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah Penampang kira-kira jam 3 pagi.
“Bertindak atas maklumat itu anggota MPV bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Polis turut merampas dua pemotong kabel dan segulung wayar kabel yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan. Arisanti berkata kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 431 Kanun Keseksaan. Dalam pada itu Arisanti mengucapkan terima kasih kepada orang awam atas kerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah, selain menasihatkan masyarakat supaya tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan keselamatan diri.






