
ISKANDAR PUTERI: Polis menahan dua pemandu ‘supercar’ yang bertindak menghentikan trafik bagi memberikan laluan kepada konvoi kenderaan mewah untuk menggunakan jalan raya umum, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Saifullah Jaya berkata, dua pemandu berusia 54 dan 65 tahun itu ditahan selepas rakaman video berhubung insiden berkenaan tular di media sosial.
“Kita mengesan video tular pada pukul 6.16 petang semalam yang memaparkan aksi dua pemandu menahan kenderaan lain di bulatan Lebuh Kota Iskandar, di sini bagi memberi laluan terhadap konvoi ‘supercar’.
“Sehubungan itu, polis menahan kedua-dua pemandu lelaki warga tempatan tersebut bagi merakam keterangan mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, siasatan dibuat mendapati konvoi ‘supercar’ tersebut sedang dalam perjalanan dari arah Puteri Harbour menghala ke pusat bandar Johor Bahru.
“Empat saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan ketidakpatuhan terhadap spesifikasi kenderaan yang ditetapkan. Kes disiasat di bawah Seksyen 110 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.-UTUSAN
The post Dua lelaki halang kenderaan lain bagi laluan konvoi ‘supercar’ ditahan appeared first on Utusan Malaysia.





![[VIDEO] ‘Mentang-mentang pakai kereta sport’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/konvoi-1024x768.jpeg)
