
MUAR: Dua lelaki Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas beberapa pertuduhan melakukan jenayah pecah masuk rumah dengan memakai topeng dan sarung tangan di sekitar daerah ini.
Kedua-dua tertuduh yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Jamal Hussin Jalal, 30, dan Ramzan Ali Ali, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Muhammad Faizzudin Abd. Ra’fik.
Jamal berdepan tiga pertuduhan menceroboh rumah, manakala Ramzan menghadapi satu pertuduhan menyimpan harta curi.
Mengikut kertas pertuduhan pertama hingga ketiga, Jamal bersama dua lagi individu yang masih bebas didakwa menceroboh tiga kediaman milik mangsa berusia 46, 57 dan 59 tahun di Taman Sungai Abong Permai, Taman Temiang Jaya dan Taman Permata Indah di sini, masing-masing antara pukul 11.11 malam hingga 3 pagi pada 30 Mei, 19 dan 21 Julai lalu.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut, Jamal didakwa mengikut Seksyen 447 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Ramzan pula didakwa secara tidak jujur menyimpan harta curi berupa seutas jam tangan di sebuah rumah di Taman Peringgit Jaya, Melaka, kira-kira pukul 1.30 pagi pada 26 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Kelvinder Singh Sidhu.
Mahkamah kemudian membenarkan Jamal diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin bagi pertuduhan pertama, RM1,500 dengan dua penjamin bagi pertuduhan kedua dan RM2,500 dengan dua penjamin bagi pertuduhan ketiga.
Manakala Ramzan pula dibenarkan ikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin.
Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula untuk semua pendakwaan itu pada 22 September depan.-UTUSAN
The post Dua lelaki Rohingya didakwa lakukan jenayah pecah rumah appeared first on Utusan Malaysia.






