
KOTA BHARU: Polis akan menahan bekas teman lelaki kepada wanita bagi membantu siasatan berhubung kes menanam janin dipercayai berusia lima bulan di tepi sebuah rumah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Batu Mengkebang, di sini dua tahun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya sudah mengenal pasti bekas teman lelaki kepada wanita berkenaan dan tangkapan akan dilakukan bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada bayi berkenaan meninggal dunia ketika masih dalam kandungan atau selepas dilahirkan.
“Tindakan lanjut terhadap pihak yang berkaitan perlu dibuat bagi membantu polis melengkapkan siasatan kes tersebut.
“Setakat ini, bekas suami wanita berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Aktiviti Riadah Bermotosikal dan Sumbangan Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Ipoh Super Biker’s Club (ISBC) Sempena Sambutan Hari Polis dan Sambutan Ambang Kemerdekaan ke-69, di sini, hari ini.
Terdahulu, 17 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang wanita dan bekas suaminya dicekup bagi membantu siasatan berhubung kes menanam janin dipercayai berusia lima bulan di tepi sebuah rumah di RPT Batu Mengkebang, di sini dua tahun lalu.
Wanita yang berusia 30 tahun dan bekas suaminya berusia 32 tahun ditahan selepas mereka menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Krai di sini, kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Mohd. Maizan Mustafa berkata, tangkapan terhadap kedua-dua individu dijalankan selepas lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu membuat laporan polis kira-kira pukul 11 pagi semalam mengenai perbuatan bekas isterinya itu.
Katanya, siasatan awal mendapati, wanita terbabit dipercayai menggugurkan kandungannya yang berusia lima bulan sebelum menanam janin tersebut di tepi rumah, dua tahun lalu.-UTUSAN
The post Bekas teman lelaki wanita tanam janin akan ditahan, bantu siasatan appeared first on Utusan Malaysia.






