
SEJAK melangkah ke alam rumah tangga dan bergelar ibu, keutamaan pemilik nama sebenar Noor Neelofa Mohd Noor ini ternyata berubah sepenuhnya.
Walaupun ribuan peminat merindui kelibat dan aksi lincahnya di layar perak mahupun kaca televisyen, Neelofa kini lebih selesa meluahkan jiwa dan tenaganya di rumah, membesarkan dua cahaya mata lelaki yang sedang sarat dengan karenah dan membesar dengan pesat.
Pilihan untuk meletakkan kerjaya seni di tepi seketika bukan satu keputusan yang sukar buat dirinya, melainkan satu keutamaan yang amat disyukuri.
"Ya ALLAH, saya memang duduk rumah jelah untuk sekarang. Adalah juga yang mengajak buat filem, buat program itu dan ini.
"Tapi bagi saya, buat masa ini saya kena berlaku adil kepada anak-anak yang mana mereka ada hak ke atas saya," katanya lembut tetapi penuh ketegasan seorang ibu.
Melihat insan lain yang mungkin terpaksa keluar bekerja demi sesuapan nasi, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu menganggap peluang berada di samping anak-anak sebagai satu rezeki yang tidak harus disia-siakan.
"Dibandingkan segelintir yang lain, saya ada pilihan. Ada setengah orang tak ada pilihan, kena kerja dan jalan jauh. Tapi saya ada pilihan untuk duduk bersama mereka, duduk dekat dengan mereka dan luangkan banyak masa bersama. Contohnya untuk sekarang lah.
“Saya tak tahu lagi apa yang terjadi dalam masa lima atau sepuluh tahun akan datang, mungkin ada program TV atau selebihnya, tapi untuk sementara ini, tidaklah," tambahnya lagi.

Bercakap soal rindu terhadap dunia glamor yang pernah melonjakkan namanya, figura jelita yang juga juara Dewi Remaja 2009/2010 hanya tertawa kecil.
Rutin harian yang padat menguruskan rumah tangga dan perniagaan membuatkan masa berlalunya terlalu pantas tanpa sempat dirinya untuk menoleh ke belakang.
"Sejujurnya, tak sempat nak rindu bidang seni sebab penat. Walaupun banyak berada di rumah, bukan bermakna kita ada masa untuk semuanya. Ada masa kita nak rehat, ada masa nak kena jaga bisnes, ada masa nak masak dan buat itu ini.
“Saya rasa tak sempat langsung nak fikir dunia luar. Kalau anak-anak sudah besar dan mula bersekolah nanti, mungkin masa itu saya akan rasa ada waktu lapang untuk buat sesuatu yang lain," jelasnya jujur.
Mengendalikan dua anak lelaki yang masih kecil dan dahagakan perhatian bukannya tugas yang mudah, malah memerlukan ketabahan serta kebijaksanaan mengurus masa.
Pengasas dan pemilik jenama fesyen Muslimah popular, Naelofar tidak menafikan cabaran besar itu, terutamanya dalam mencari ruang untuk diri sendiri bernafas di tengah-tengah kesibukan harian.
"Satu benda yang sangat susah buat masa sekarang sebab anak-anak masih kecil. Kalau anak dah besar mungkin lebih mudah, tapi bila kecil begini, banyak perhatian yang mereka perlukan.
“Jadi, kadang-kadang nak cari masa untuk diri sendiri tu pun kena curi-curi. Contohnya bila mereka tengah main di bawah, okey, kita pergi tidur kejap dalam bilik," kongsinya sambil tersenyum.

Bagi isteri kesayangan PU Riz, menjaga kesihatan mental dan fizikal diri sendiri juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sebagai ibu agar tidak mudah emosi atau kelesuan.
“Kita pun kena pandai pastikan kita ada masa untuk diri kita. Kadang-kadang anak cakap nak main dengan Ummi, tapi saya tahu saya perlukan rehat. Saya akan cuba diplomasi, cakap dengan mereka untuk main mainan lain dulu.
“Saya tahu tak boleh nak paksa sangat, tapi kita kena pandai-pandai tahu bila badan perlu rehat dan bila kena selesaikan tugasan lain," tuturnya ketika ditemu bual SinarPlus baru-baru ini di majlis pelancaran Nilofa Banana Milk.
Dia yang juga pengasas Nilofa Group berkata, kemunculan semula Nilofa Banana Milk selepas kira-kira lima tahun bukan sekadar mengembalikan produk yang pernah mendapat sambutan, sebaliknya menjadi asas kepada strategi pertumbuhan baharu syarikat.

“Kami kembali dengan pengalaman menjual lebih tujuh juta unit sebelum ini, tetapi kali ini aspirasi kami jauh lebih besar.
“Kami mahu membina perniagaan yang lebih kukuh, membangunkan usahawan bersama-sama kami dan akhirnya melihat sebuah jenama Malaysia berkembang melangkaui Malaysia,” katanya.
Tambahnya lagi, Nilofa kini mengutamakan kualiti berbanding kuantiti dalam pembangunan rangkaian Rakan Niaga dengan mengehadkan penyertaan kepada 50 rakan niaga terpilih di seluruh negara.





